SELESAI 80 PERATUS GANGGUAN AIR



2selesai
ALOR SETAR 2 Julai – Semua aduan pengguna mengenai gangguan bekalan air di Kedah sepanjang perayaan Aidilfitri ini dapat diselesaikan sehingga 80 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga dan Perumahan negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, pelan kontingensi yang dirancang sebelum musim perayaan itu memberikan hasil positif dalam mengatasi gangguan air.
“Tahun ini adalah yang terbaik memandangkan persediaan awal kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman Sdn.Bhd (Sada) serta pelbagai agensi lain bagi menangani krisis air dengan efisien,”katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Kedah di Mentaloon di sini, hari ini
Beliau berkata, pam penggalak yang dipasang di kawasan bertekanan air rendah, kekerapan agihan serta penambahan jumlah lori menghantar air dan penyerahan 1,000 tangki air kepada penduduk yang terjejas nyata banyak membantu menyelesaikan gangguan air berkenaan.
“Bagi kawasan yang masih mengalami masalah, kita minta bersabar kerana kami sedang menyelesaikannya dari semasa ke semasa dan secara berperingkat.
“Pada masa sama, kerajaan negeri menerima peruntukan khas kira-kira RM600 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk menangani isu bekalan air dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya.
Badrul Hisham berkata, kerajaan negeri juga akan membuka tender untuk menaik taraf lima loji sedia ada dan membina loji baharu di Pokok Sena dalam tempoh dua bulan lagi.
"Kita tidak mahu perkara ini dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Saya sudah mengarahkan Sada memberi taklimat kepada wakil-wakil rakyat pembangkang mengenai situasi ini,” katanya.
Sejak lima tahun lalu, kawasan Kota Setar, Pokok Sena, Kuala Nerang dan Pendang akan mengalami masalah bekalan air sebelum dan semasa Aidilfitri kerana penggunaannya meningkat sehingga 30 peratus berikutan ramai perantau pulang ke kampung menyambut lebaran.
Sumber : Sinar