MUKHRIZ: SASAR STATUS SIFAR ADUAN




    3mukhriz
    ALOR SETAR 3 Ogos - Kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan Kedah sebagai negeri pertama mencapai status ‘sifar’ aduan dalam aspek kebersihan persekitaran.
    Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, dengan itu pihaknya berharap Environ ment Idaman Sdn. Bhd., (E-Idaman) bersama-sama dengan Solid Waste Corporation (SWCorp) akan terus berusaha meningkatkan prestasi ke arah mencapai tahap sifar aduan.
    “Saya dimaklumkan oleh SWCorp bahawa syarikat E-Idaman merupakan antara syarikat konsesi yang paling rendah menerima aduan berbanding dengan syarikat-syarikat konsesi yang lain pada 2014 sehingga ke hari ini. “E-Idaman juga merekodkan ‘sifar’ aduan sepanjang Hari Raya Aidilfitri sehinggalah ke hari ini. Saya berharap agar kejayaan itu akan dapat dipertahankan sampai bila-bila,” katanya semasa berucap dalam majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri dan pelancaran Wisma Idaman di Bandar Stargate di sini hari ini.
    Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Mhd. Saiful Anual Zainal.
    Menurut Mukhriz, Kedah yang pernah satu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Darul Sampah’ kini telah berubah wajah menjadi antara negeri yang terbersih di Malaysia.
    “Sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar, saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh syarikat E-Idaman.
    “Bukan sahaja daripada aspek menjaga kebersihan malahan juga merangkumi kerja-kerja kebajikan masyarakat setempat seperti bantuan kepada mangsa bencana alam di negeri ini dan juga di negeri lain seperti Pahang dan Kelantan,” jelasnya.
    Dalam pada itu, Mhd. Saiful berkata, pihak E-Idaman sedang berusaha bersama-sama dengan SWCorp untuk ke arah sifar aduan pada 2016. “Pada 2010 pihak kami menerima 4,200 aduan dan jumlahnya menurun kepa da 750 pada 2014. Setakat Jun 2015, pihak kami menerima 200 aduan dan berjaya mengekalkan rekod sifar aduan sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Langkawi dan juga sambutan Aidilfitri 2014/2015,” jelasanya.
    Katanya, sepanjang enam tahun mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pengurusan awam di Kedah dan Perlis, pihak E-Idaman telah membelanjakan hampir RM200 juta untuk memastikan mutu perkhidmatan berada pada tahap yang terbaik.
    Sumber : Utusan
    Oleh : Safina Ramli