PAKAIAN TERPAKAI BERKUALITI DI PENDANG



1pakaian
PENDANG 1 Julai - Sebagai usaha memberikan peluang kepada golongantidak berkemampuan mendapatkan pakaian berkualiti bersempena Aidilfitri, seorang peniaga pakaian terpakai menawarkan barangan jualannya dengan harga yang lebih rendah.
Pemilik premis 'Pie Bundle' yang terletak di Jalan Sungai Tiang di sini Nasrul Ain Abdul Manaf, 27, berkata, jualan murah itu berlangsung dalam 'Pesta Bundle Pendang' kali kedua yang bermula Khamis lepas hingga hari ini dan antara pakaian itu didatangkan dari Jepun, Korea dan Amerika Syarikat.
"Selain untuk mempromosikan kedai ini, saya juga membuat sedikit kelainan dengan menawarkan pakaian terpakai ini pada 'Harga Hari Raya' yang cukup murah jika dibandingkan pada hari-hari biasa.
"Bagi pakaian dewasa dan kanak-kanak ia dijual pada harga RM2 hingga RM5, manakala kain cadar dan langsir dijual hanya RM15 berbanding RM50 sebelum ini.
"Ini kali kedua kami buat pesta ini bagi memberi peluang kepada golongan yang tidak berkemampuan memiliki pakaian terpakai yang berkualiti," katanya.
Nasrul Ain berkata, pada sambutan Aidilfitri kali ini pihaknya memperuntukkan 70 guni pakaian terpakai untuk dijual kepada orang ramai sepanjang tiga hari pesta itu berlangsung berbanding hanya 20 guni pada tahun lepas.
"Saya juga tak rasa rugi kerana selama ini pelanggan tidak putus-putus ke premis kami dan anggaplah ini hadiah Hari Raya kami untuk pelanggan yang datang beli pada harga sangat murah," katanya.
Beliau berkata, selain menjual pakaian terpakai, beliau juga merupakan antara pembekal yang sering mendapat tempahan daripada pengusaha pakaian terpakai lain di seluruh negeri.
Sumber : Utusan