14rm
SUNGAI PETANI 14 Februari - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM48.1 juta untuk melaksanakan 19 Projek Quick Win iaitu projek yang perlu dilaksanakan segera bagi pembangunan kawasan luar bandar dan wilayah di negeri ini.
Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, kesemua projek bersifat ‘titik sentuhan’ itu dilaksanakan bermula Januari lepas hingga Mei ini.
“Daripada RM48,1 juta itu, sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek ameniti sosial dan jalan perhubungan desa manakala sebanyak RM11.3 juta diagihkan untuk projek baik pulih rumah dan pembinaan rumah baharu di negeri ini.
“Sementara itu, RM465,000 lagi diperuntukkan bagi melaksanakan dua projek di bawah Felcra (Felcra Berhad), RM4.6 juta diagihkan kepada Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) yang membabitkan pelaksanaan dua projek serta RM21.7 juta lagi melalui Keda (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) melibatkan 11 projek,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan projek itu di Pejabat Risda Daerah Kuala Muda/Yan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Tajudin yang turut meluangkan masa melawat pusat jualan produk usahawan Risda atau RisSMart berkata, lebih ramai pekebun kecil Risda diharap dapat melibatkan diri dengan aktiviti ekonomi tambahan untuk membolehkan mereka mendapat pendapatan sampingan.
“Pekebun kecil boleh terlibat dalam aktiviti keusahawanan, penternakan, perladangan, ataupun membuka bengkel kereta dan motosikal, selain hanya tertumpu kepada hasil getah.
“Risda kini mempunyai kedai sendiri yang berperanan memasarkan produk-produk seperti makanan, kraftangan dan sebagainya yang dihasilkan pekebun kecil, dan peluang ini harus direbut oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata, kedai yang baru beroperasi sejak dua minggu lalu itu menempatkan lebih 10 produk yang diusahakan lapan pekebun kecil Risda.
Sumber : Sinar


14lznk
ALOR SETAR 14 Februari - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim (UniSHAMS), hari ini menandatangani memorandum persafahaman (MoU) bagi pembiayaan biasiswa pendidikan bernilai RM1.2 juta kepada 100 pelajar asnaf fisabilillah.
Memorandum persefahaman (MoU antara kedua-dua itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman dan Rektor UniSHAMS, Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dipejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Syeikh Zakaria berkata, melalui jalinan kerjasama itu pihaknya menyatakan hasrat untuk membantu anak-anak Kedah yang cemerlang dalam akademik tetapi menghadapi mempunyai kekangan kewangan akan dibantu.
"Pelajar asnaf yang dibantu dengan pembiayaan penuh untuk melanjutkan lapan program pengajian iaitu empat program diploma dan empat program ijazah sarjana muda.
"Program diploma yang ditawarkan biasiswa penuh ialah Tahfiz Wal Qiraat, Pengajian Islam, Perbankan Islam dan Perakauan. Sementara, program ijazah pula ialah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat dengan kepujian, Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian, Sarjana Muda Usuluddin dengan kepujian dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (Kewangan dan Perbankan Islam)," katanya.
Menurutnya, biasiswa ini adalah satu platform kerjasama strategik yang berfokus, jangka masa panjang untuk tujuan pembangunan pendidikan anak-anak Kedah dalam kategori Asnaf Fi Sabilillah.
"Pelajar yang terpilih untuk biasiswa ini perlu terikat dengan perjanjian dengan LZNK, di mana mereka perlu memastikan kecemerlangan akademik mereka berterusan sehingga tamat pengajian dengan CGPA minimum 3.5.
"Pemilihan pelajar yang layak akan dilakukan secara bersama oleh pihak LZNK dan UniSHAMS. Pelajar diploma layak mendapat biayaan sebanyak RM36,000 dan ijazah sarjana muda RM50,000 termasuk duit sara hidup RM300 sebulan sepanjang tempoh pengajian," katanya.
Sementara, Mohd Fakhrudin berkata selain meringan pelajar asnaf, usaha murni itu yakin dapat menarik lwbih ramai pelajar ke institusi pengajian awamnya.
"Kita sudah ada senarai penerima biasiswa yang layak menerima bantuan ini dari LZNK," katanya.
Terdahulu, Ahmad Bashah yang juga pengerusi Lembaga Pengarah UniSHAMS bersyukur dengan kerjasama yang terjalin dengan LZNK.
"Jalinan kerjasama ini, satu tanda pemuafakatan yang wujud antara institusi dalam negeri dan saling membantu membangunkan rakyat negeri ini dalam pelbagai aspek," katanya.
Oleh : Gokina Morganan
Sumber : Sinar


14aspek
ALOR SETAR 14 Februari – Ramai majikan di Kedah masih gagal memastikan tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) memuaskan di tempat kerja.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Hazlina Yon berkata, masalah itu mungkin berpunca daripada sikap majikan yang hanya mengejar keuntungan sekali gus berlaku pengabaian dari aspek keselamatan pekerja di premis mereka.
“Saya lihat kebanyakan majikan sangat pentingkan kualiti produk dengan berusaha mendapatkan sijil halal, namun ambil sikap mudah hal-hal berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Sebenarnya ini penting kerana jika ada pekerja cedera, meninggal dunia atau jatuh sakit, itu merugikan syarikat,” katanya pada Program Seminar dan Dialog bersama Majikan 2018 di Pejabat JKKP negeri di sini, hari ini.
Kira-kira 30 majikan daripada pelbagai sektor pembuatan dan perkhidmatan hadir pada program anjuran JKKP Kedah itu dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka berkaitan perkara itu.
Hazlina berkata, statistik tahun lalu menunjukkan, sebanyak 366 kes kemalangan di tempat kerja direkodkan dan membabitkan 11 kes kematian, hilang upaya kekal (26 kes), kejadian berbahaya seperti kebakaran dan bangunan runtuh (lapan), manakala kemalangan tanpa hilang upaya kekal (321 kes).
Sektor pembinaan penyumbang utama dengan empat kes, diikuti pengilangan dua kes dan masing-masing satu kes bagi sektor perlombongan dan penguraian, pengangkutan/penyimpanan/komunikasi, borong/runcit, perhotelan/restoran dan kewangan/insurans/harta tanah/perkhidmatan perniagaan.
Beliau berkata, manakala bagi pelaporan penyakit pekerjaan, JKKP Kedah menerima 547 kes.
“Selain itu, kita juga membuat pemeriksaan terhadap 15,377 premis dan jentera di tempat kerja dan daripada jumlah itu, 1,903 surat arahan dan 1,679 notis pembaikan dan larangan serta merta dikeluarkan, 52 kesalahan dikenakan kompaun dan 48 kes didakwa di mahkamah,” katanya.
Bagi memastikan majikan mengambil tanggungjawab itu, katanya pemeriksaan secara berkala dilakukan bagi memastikan mereka patuh dengan peraturan termaktub dalam Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“JKKP Kedah juga nak memastikan Pelan Induk KKP 2020 tercapai dengan pengurangan kadar kemalangan di tempat kerja sehingga 2.53 kes bagi 1,000 pekerja, manakala sasaran pengurangan kadar kematian sehingga 4.36 kes bagi 100,000 pekerja,” katanya.
Hazlina berkata, program itu diharap mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran majikan dalam aspek pengurusan risiko berkaitan dengan bahaya di tempat kerja serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengawal dan menguruskan risiko.
Sumber : Sinar


13tunggu
ALOR SETAR 13 Februari - Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Kedah/ Perlis / Pulau Pinang (JMG KPP) perlu mendapatkan keputusan analisis kimia makmal sebelum membuat kesimpulan berkaitan kejadian sungai biru.
Pengarah JMG KPP, Azhari Ahmad berkata, pihaknya masih menunggu keputusan sampel air sungai biru yang dihantar untuk ujian lanjut sebelum ini.
"Apabila kita dapat keputusan makmal, barulah kita dapat menentukan kandungan dalam air sungai biru dan puncanya sama ada asli ataupun sumbangan bahan lain.
"Jadi, kita perlu tunggu untuk memperolehi keputusan ujian sampel air itu dahulu sebelum membuat sebarang rumusan. Selepas itu, barulah fikirkan tindakan selanjutnya," katanya.
Terdahulu, beliau ditemui Sinar Harian ketika pemerhatian kali kedua JMG KPP sekitar sungai biru berdekatan Gunung Keriang, di sini, semalam.
Turut serta, Pegawai Geosains JMG KPP, Nur Susila Md Saaid.
Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa air sungai biru yang menjadi tular di laman sosial Facebook tidak boleh dijadikan minuman.
Menurut Azhari, pihaknya bimbang pengunjung sungai biru mengambil air sungai biru untuk diminum ataupun sebarang tujuan lain.
"Selagi, tidak mendapat keputusan mengenai bahan terkandung dalam air sungai biru. Kita harap orang awam tidak mengambil air sungai biru untuk tujuan apapun. Tak kira samada diminum, dimandi ataupun kegunaan domestik lain," katanya.
Pada Rabu lepas, Ketua Pegawai Geosains, Hamdan Ariffin bersama seorang pengawai geosains dan pembantu pegawai geosains melakukan kajian kimia lapangan di sekitar sungai biru.
JMG KPP mendapati air sungai biru memiliki nilai PH rendah, iaitu 3.0, yang mana kandungan air berasid dan tidak selamat diminum jika berpandukan standard Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).
Berdasarkan kajian kimia lapangan itu, air berwarna biru menunjukkan nilai PH rendah sekitar 2.9 hingga 3.5, manakala bagi air yang tidak biru memiliki nilai PH sekitar 5.5, iaitu hampir normal.
Sebelum ini, kawasan sungai biru yang turut dikenali sebagai 'Blue Lagoon' menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar untuk selepas tular di media sosial.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar


12guru
ALOR SETAR 12 Februari - Kira-kira 3,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini dijangka akan menerima gaji masing-masing dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) baru menerima peruntukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan akan mengagihkan kepada guru berkenaan segera.
"Memang ada kelewatan sedikit dalam soal pembayaran gaji guru KAFA bulan Januari yang sepatutnya dijelaskan pada awal bulan. Kita minta guru terlibat supaya bersabar kerana peruntukan tersebut baru diserahkan kepada unit pembangunan negeri.
"Apabila JHEAIK terima, mereka akan agihkan segera kepada kira-kira 3,000 guru KAFA di negeri ini. Kita tidak lupa pada guru-guru KAFA ini dan kalau duit dapat, tak akan kita hendak simpan," katanya selepas Majlis Perjumpaan Ahli Jawatankuasa Masjid dan Pelancaran Program Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) Masjid, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai aduan KAFA berhubung kelewatan pembayaran gaji bulan Januari yang tular di laman sosial sejak semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Terdahulu, Asyraf menyerahkan replika cek bayaran khas 'one off' imam, bilal, siak, guru takmir dan KAFA di negeri ini berjumlah RM9.86 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Oleh : Siti Nurazlina
Sumber : Utusan


11bekalan
JITRA 11 Februari - Paras air di tiga empangan di Kedah berada pada paras terkawal dan mencukupi bagi kegunaan domestik, industri dan pertanian.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Othman Aziz berkata, walaupun Kedah menghadapi musim kemarau pada ketika ini namun takungan air di Empangan Pedu, Ahning dan Muda berada pada paras 100 peratus.
"Malah dua minggu lalu, terdapat laporan mengatakan paras air mencecah 104 peratus sehingga berlaku limpahan sebanyak empat peratus yang mengalir ke sungai dan laut,"katanya pada media selepas Majlis Pengisytiharan dan Penyerahan Watikah JPP Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman 2018 di sini, hari ini.
Menurutnya, petani juga tidak perlu bimbang kerana dijangkakan penanaman padi musim pertama dan kedua pada tahun ini akan berjalan lancar tanpa masalah bekalan air.
"Kita juga harap para petani dapat mengikut jadual penanaman yang disediakan agar tidak berlaku pembaziran air untuk saliran dan pengairan tanaman padi.
"Selalunya apabila kita terlewat dan tak ikut jadual... kat situlah bermulanya pembaziran air.
"Jadi kita kena jaga sumber air dan menggunakannya pada tahap optimum, sebagai persediaan sekiranya kemarau ini berpanjangan," katanya.
Terdahulu, Othman menyampaikan watikah perlantikan kepada 27 pelajar yang terpilih untuk menganggotai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Darulaman bagi sesi 2018/2019.
Turut hadir, Pengarah IPG Kampus Darulaman, Datin Naimah Jaafar.
Oleh : Roshila Murni Rosli
Sumber : Sinar