BUKAN MILIK RAJA BERSIONG


9bukan
ALOR SETAR 9 Februari - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah menafikan istana lama di Bukit Tinggi, Kepala Batas ialah istana Raja Bersiong.
Pengerusinya, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, orang awam sering salah faham bahawa istana terbiar berusia ratusan tahun itu milik Raja Bersiong.
“Sehingga kini masih ada salah sangka, tapi dakwaan diperkatakan itu adalah sama sekali tidak benar,” katanya.
Wan Shamsuddin menjelaskan, Raja Bersiong tidak wujud dan hanya watak rekaan menggambarkan seorang raja yang kejam dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
“Ada tempat lama dikaitkan dengan Bersiong. Namun kesahihan diragui dan tidak wujud dalam pemerintahan raja Kedah, sebaliknya dicipta dalam buku. Antaranya kubur Raja Bersiong di Kuala Muda, tiang bendera Raja Bersiong di Tikam Batu dan keris di Kampung Kota Bukit, Jeneri," katanya.
Menurutnya, istana tersebut milik Raja Muda Kedah ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1854 hingga 1879 iaitu Tunku Kudin.
Tunku Kudin atau nama sebenarnya Tunku Dhiauddin Zainal Rashid dipercayai membina istana itu menggunakan telur putih dan manisan lebah.
Susulan itu, Shamsudin berkata, pihaknya sentiasa memberi penerangan kepada orang awam berkaitan istana itu dari semasa ke semasa demi menjelaskan salah faham tersebut.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar