Sistem Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Atasi Masalah Sayuran Rosak

24Sistem
PENDANG 24 September – Sistem Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan dijangka dapat membantu golongan petani yang sering berdepan dengan masalah kerosakan hasil tanaman selepas tuaian.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Dato’ Ahmad Ishak berkata, berdasarkan kajian, petani terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan 30 peratus hasil pertanian kerana cara pembungkusan dan penyimpanan salah.

“Melalui Sistem Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan, petani akan diberi bimbingan cara betul menyimpan dan membungkus hasil pertanian mereka supaya kekal segar dan tidak busuk,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Peringkat Negeri Kedah di Tapak Pasar Tani FAMA.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob.

Menurutnya, peraturan terhadap sistem penggredan, pembungkusan dan pelabelan bukan sekadar membantu mengurangkan barangan rosak, malah turut memberi faedah kepada semua pihak membabitkan pelbagai aspek. Dengan adanya sistem penggredan, ia  membolehkan peniaga menentukan kadar harga sesuatu barangan berdasarkan gred ditetapkan berbanding dengan sistem penjualan secara campur aduk yang dilihat merugikan peniaga.

Sumber : UMTK