30,000 HADIR RUMAH TERBUKA



2rumah
ALOR SETAR 2 Julai - Kemeriahan Syawal ber­terusan dengan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung di Seri Mentaloon di sini hari ini.
Pada majlis yang bermula pukul 10 pagi itu, Ahmad Bashah yang ditemani isteri, Datin Seri Hizam Awang Ahmad serta barisan Exco kerajaan negeri kelihatan ceria melayan kehadiran tetamu termasuk menunaikan permintaan untuk bergambar selain melayan keletah anak kecil dengan menyampaikan duit raya.
Kata Menteri Besar, rumah terbuka itu adalah tradisi kerajaan ne­geri sempena hari raya dalam usa­ha mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat negeri ini.
“Berbanding tahun lalu, saya fikir sambutan kali ini lebih me­riah. Saya gembira kerana dapat menyambut kehadiran masyarakat terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan kaum yang sudi datang sejak dari pukul 10 pagi.
“Ini menunjukkan rakyat Kedah masih teguh untuk bersama dan saling bantu membantu demi masa depan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, penganjuran rumah terbuka itu turut menampilkan keunikan dengan parti-parti komponen iaitu MCA, MIC dan Gerakan turut membuka gerai makanan.
“Penganjurannya mengambil ki­ra semangat Muafakat Kedah yang kita tonjolkan sejak sekian lama apabila semua pihak bergabung bagi menjadikan penganjuran majlis ini menjadi lebih meriah.
“Selain makanan tradisi Melayu seperti lemang, ketupat, rendang dan sate, para pengunjung turut boleh memilih untuk menikmati hidangan seperti tosai dan capati. Ini keunikan yang mahu ditonjolkan,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan