MATRADE Beri Kerjasama Maklumat Perniagaan Global

24matrade
SUNGAI PETANI 24 September – Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (MATRADE) sentiasa bekerjasama dalam memberi maklumat terkini perniagaan global dan peluang perdagangan kepada syarikat dalam memperkukuhkan potensi perniagaan masing-masing.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, syarikat di Kedah perlu memanfaatkan maklumat ini dan bantuan yang disediakan MATRADE dan mereka juga harus berani dalam mengembangkan prospek perniagaan dan meneroka pasaran antarabangsa untuk menggalakkan produk tempatan berkembang di peringkat antarabangsa.

“Selain pengukuhan pengetahuan mengenai keperluan pasaran terkini, manfaat yang bakal diperoleh termasuk penggunaan teknologi, peningkatan kualiti pengeluaran serta perkongsian pengalaman yang dianggap penting dalam persekitaran perniagaan global yang semakin mencabar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Forum Exporters anjuran Perbadanan Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Malaysia (MATRADE) di Hotel Park Avenue.

Beliau menjelaskan, setakat ini, sebanyak 312 syarikat di Kedah berdaftar dengan MATRADE termasuk 264 adalah syarikat berkaitan perusahaan kecil dan sederhana (IKS).

“Kita berhasrat untuk memacu transformasi bagi menjadikan Kedah sebuah negeri maju dan membangun. Justeru, semua usahawan, termasuk petani dan nelayan di Kedah dapat beralih kepada paradigma baru dalam pengeluaran dan pemasaran barangan kerana sektor eksport akan memberi pulangan yang cukup besar kepada perkembangan ekonomi negeri,” ujarnya.

Sumber : UMTK