UPUK Bantu Usahawan


10upuk
 
Oleh Jamliah Abdullah
 
ALOR SETAR 10 November - Kerajaan negeri menubuhkan Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) dalam usaha menyediakan platform bagi pembangunan usahawan dan keusahawanan di negeri ini.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, unit tersebut berfungsi sebagai pusat sehenti usahawan dan dikendalikan di bawah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) yang menyediakan maklumat berkaitan program usahawan termasuk skim pinjaman perniagaan oleh pihak swasta termasuk bank-bank komersial.
 
Selain penubuhan UPUK, kata beliau, Skim Mikro Kredit Negeri Kedah diwujudkan untuk membantu usahawan termasuk usahawan baharu memulakan perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tempoh lima tahun pertama ini.
 
“Tujuan utama UPUK ini adalah untuk menjadi pusat pembangunan, penyelarasan dan rujukan utama usahawan di Kedah. Walaupun terdapat pelbagai program dan bantuan kepada peniaga disediakan oleh kerajaan namun akses kepada maklumat perniagaan ini merupakan salah satu cabaran yang dihadapi oleh para usahawan.
 
“UPUK diberikan tanggungjawab untuk membangunkan usahawan baharu melalui program bimbingan dan khidmat nasihat perniagaan yang disokong dengan bantuan kewangan yang bersesuaian. ​Untuk tujuan pembiayaan, skim mikro kredit sedia menawarkan pembiayaan perniagaan daripada RM5,000 sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan.
 
“Dengan kadar faedah yang rendah sebanyak 3.5 peratus setahun, adalah diharapkan ia akan dapat membantu usahawan mikro memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka. Skim ini akan dilaksanakan oleh UPUK dengan kerjasama institusi kewangan yang dilantik,” kata beliau ketika me­rasmikan unit tersebut di Tingkat 3 Bangunan UTC, di sini hari ini.
 
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Mas­yarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob.
 
Tambah Mukhriz, idea penubuhan UPUK adalah daripada perbincangan semasa Makmal Transformasi Kedah yang dijalankan pada September 2013 dan akan dikendalikan oleh sembilan kakitangannya yang berpengalaman.
 
“Golongan peniaga baharu yang disasarkan termasuklah golongan belia, wanita, usahawan luar bandar dan usahawan daripada golongan kurang upaya (OKU). Ini adalah antara akujanji yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi rakyat,” katanya.
 
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, kata Mukhriz, perkembangan syarikat yang mendapat khidmat UPUK termasuk pinjaman akan dibimbing dan dipantau unit itu secara berterusan.
 
Sumber : Utusan