Projek Lewat: Kerajaan Kedah Tidak Puas Hati

2lewatTAJUL Urus Md. Zain (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Mohamad Noor Had (kiri) mengenai projek perumahan nelayan moden bernilai RM48 juta yang dicadangkan dibina di Tanjung Dawai, Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/OPAT

SUNGAI PETANI 2 Jun - Kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan kelewatan kerja-kerja pembangunan projek perumahan nelayan moden di Tanjung Dawai dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, antara kelewatan berkenaan adalah berhubung kerja-kerja menimbun tapak hutan paya bakau yang kini hanya berjalan sebanyak 30 peratus.

Katanya, berdasarkan perancangan asal, projek tersebut diserahkan kepada kontraktor pada Mac 2011 sepatutnya siap pada September 2015.

"Projek ini nampaknya mengalami kelewatan kerana ia tidak berjalan seperti jadual. Kerja-kerja menimbun tapak hanyalah siap 30 peratus sedangkan banyak lagi seperti pembinaan struktur rumah yang tidak dimulakan.

"Jika keadaan ini berlarutan, saya fikir ia tidak dapat disiapkan menjelang September 2015 dan ini sungguh mendukacitakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek perumahan nelayan moden di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Mohamad Noor Had dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Ahmad Fisol Md. Nor.Tajul Urus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, projek perumahan nelayan moden berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal 2011 sebagai hadiah kepada kesetiaan para nelayan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tajul Urus berkata, projek itu melibatkan sebuah perkampungan nelayan moden dengan kemudahan lengkap seperti padang permainan, surau, jeti dan pusat rekreasi.

"Sebanyak 300 buah rumah jenis berkembar satu tingkat dibina dengan keluasan 700 kaki persegi setiap unit," katanya.

Tambahnya, kelewatan projek berkenaan dikhuatiri memberikan implikasi negatif kerana pihak pembangkang mungkin mengambil kesempatan menuduh bahawa BN tidak melaksanakan janjinya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, agensi pelaksana iaitu LKIM; jurutera perunding dan kontraktor terlibat pada 15 Jun ini bagi mempercepatkan projek pembinaan tersebut.

Sumber:Utusan