KERAJAAN KEDAH BANTU MANGSA KEBAKARAN



3kerajaan
SUNGAI PETANI 3 Julai - Empat keluarga di Taman Ria Sungai Petani di sini yang ditimpa musibah apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran baru-baru ini mendapat perhatian kerajaan negeri.
Kerja-kerja membaik pulih bahagian rumah yang terjejas dalam kebakaran itu akan dilakukan melalui peruntukan kerajaan negeri dalam waktu terdekat.
“Kebakaran itu dikatakan bermula dari sebuah rumah pemilik motosikal antik apabila barang miliknya termasuk lima vespa musnah ketika penghuni rumah itu, Shafiee Abu Bakar, 68, isteri, Azizah Bahari, 59, serta anak mereka, Mohd. Izran Hanif, 29, pulang berhari raya ke Taiping, Perak.
“Rumah tiga mangsa lain akan turut dibaik pulih dan kerosakan talian elektrik dan lain-lain akan dibaiki secepat mungkin,” kata Datuk Tajul Urus Mat Zain.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) kepada keluarga mangsa tersebut di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohd. Mazukhi Shafie.
Kebakaran berlaku kira-kira pukul 12.50 pagi itu turut memusnahkan dua kereta dan 12 motosikal milik mangsa yang mendiami empat unit rumah teres di kawasan itu.
Seorang mangsa, Md. Daud Md. Noor, 63, berkata, dia dan empat ahli keluarga yang lain sempat keluar dari rumah melalui pintu belakang kerana bahagian hadapan api begitu kuat ketika berlaku kebakaran tersebut.
Menurutnya, pelbagai barangan dalam rumah rosak tidak dapat dikeluarkan dan kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan