BUKA PUSTAKA SEKAT PENGARUH SYIAH



3buka
BALING 3 Julai - Pertubuhan Kebajikan Komuniti Muslim Serantau (Perintis) bakal menubuhkan sebuah pustaka di selatan Thailand bagi menghalang fahaman Syiah dalam wilayah Yala.
Yang Dipertua Perintis, Ali Bukhari Amir berkata, fahaman itu dilihat berkembang pesat dengan menjadikan ibu tunggal, anak-anak yatim dan mahasiswa di Yala sebagai golongan sasaran.
“Konflik dan krisis di selatan Thailand digunakan sepenuhnya kelompok golongan Syiah untuk sebarkan fahaman mereka.
“Bagi menghalang ancaman itu, sebuah perpustakaan dengan kerjasama madrasah terpilih akan ditubuhkan yang memainkan peranan menyekat fahaman Syiah daripada terus berkembang,” katanya.
Terdahulu, Ali dalam kunjungan di selatan Thailand selama tiga hari bagi menjalinkan kerjasama dengan ahli akademik, ulama, NGO serta madrasah, baru-baru ini.
Menurutnya, pustaka yang dijangka ditubuhkan dalam tempoh beberapa bulan itu berkonsepkan pendidikan percuma.
“Teras utama adalah al-Quran dan Sunnah, pustaka ini tidak dibatasi dengan konsep datang membaca buku semata-mata.
"Tetapi turut disediakan pendidikan percuma yang merangkumi pelbagai cabang ilmu.
“Matlamat Perintis antara lainnya melahirkan ramai golongan celik agama yang akhirnya menggagalkan rancangan Syiah,” katanya.
Tambahnya, pustaka yang akan dikendalikan sukarelawan tempatan itu akan beroperasi selama 24 jam.
Belau berkata, masyarakat di selatan Thailand diyakini menyambut baik usaha itu.
“Selatan Thai ada keunikannya yang tersendiri kerana ada ramai ulama dan cendekiawan Islam di sini.
“Faktor ini diyakini dapat membuatkan kegiatan Pustaka Perintis berkembang subur,” katanya.
Dalam pada itu Ali berkata, Perintis memerlukan sumbangan 120 kitab termasuk al-Quran bagi disumbangkan pada tiga madrasah di sana.
“Perintis perlukan 30 naskhah al-Quran, 30 naskhah kitab hadis 40 serta masing-masing 30 kitab Muqaddam, Iqra dan buku panduan solat.
“Ia akan disumbangkan kepada Madrasah Nurul Quran, Maahad An Nur serta Sri Pattani Witthaya School dalam wilayah Pattani,” katanya.
Untuk bantuan boleh hubungi Ali Bukhari di talian 014-323 3287.
Sumber : Sinar