LANGKAH KANAN HIJAU KUNING




    22langkah
    ALOR SETAR 22 Januari - Kemenangan Kedah merangkul Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang lawan kelmarin disifatkan sebagai hadiah sempena Hari Keputeraan Ke-89 Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah.
    Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar berkata, ia juga sebagai pencetus kepada pasukan Lang Merah itu untuk beraksi cemerlang dalam saingan Liga Super.
    “Alhamdulillah kemenangan ini sangat bermakna buat Kedah yang sedang menyambut Hari Keputeraan Sultan dan kemenangan ini sebagai penyuntik semangat untuk terus beraksi cemerlang.
    Aminuddin menjelaskan, kejayaan membawa pulang piala yang kali terakhir pada 23 tahun lalu memberi isyarat bahawa Kedah sudah bersedia untuk mencabar kejuaraan-kejuaraan lain bagi musim 2017.
    Katanya, ketenangan pemain mereka beraksi di gelanggang lawan menunjukkan tahap kematangan pasukan semakin baik selepas mengharungi beberapa perlawanan akhir dalam tempoh dua tahun ini.
    Kejayaan ini juga merupakan langkah kanan kepada Kedah dalam saingan Liga Super kerana bukan mudah untuk memberikan saingan kepada pasukan berkauliti seperti JDT di laman mereka,” katanya semalam.
    Pada perlawanan itu, Liridon Krasniqi muncul wira Kedah apabila menghasilkan gol kemenangan ketika menundukkan JDT 5-4 menerusi sepakan penalti, sekali gus merangkul piala itu.
    Aminuddin berkata pemain-pemain import yang baharu juga dapat bermain dengan baik dan menunjukkan keserasian dengan pemain lain.
    “Namun ada beberapa kelemahan yang kita kesan dan cuba atasi secepat mungkin untuk saingan selepas ini,” katanya.
    Sumber : Sinar