PEMBINAAN HOSPITAL PAKAR BALING




    21pembinaan
    BALING 21 Januari - Projek pembinaan Hospital Pakar Baling yang dijangka siap pada 2019 kini memasuki fasa kedua, kata Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
    Beliau berkata, pembinaan untuk fasa berikutnya itu kini berjalan lancar membabitkan peruntukan sebanyak RM115 juta.
    "Kerja-kerja pecah tanah ke atas fasa itu akan bermula pada Mei ini. Projek Hospital Pakar Baling bakal menjadi realiti sebaik saja kerja pecah tanah itu bermula sekali gus menolak semua spekulasi mengenainya.
    "Hospital pakar ini penting bagi memudahkan penduduk Baling mendapatkan rawatan kesihatan daripada pakar yang terbaik tanpa perlu pergi ke hospital di
    Sungai Petani atau Pulau Pinang," katanya ketika berucap pada Majlis Perpaduan Sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.
    Turut hadir Adun Kupang, Datuk Harun Abdul Aziz dan Ketua Pemuda Umno Baling, Mohd Noor Mohd Amin.
    Selain hospital, Abdul Azeez juga mahu memastikan pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang khusus dalam bidang pendidikan sains sukan turut menjadi kenyataan.
    Abdul Azeez berkata, pembinaan prasarana tersebut akan memberikan kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat di daerah ini.
    "Dengan wujudnya kemudahan ini, rakyat secara tidak langsung dapat peluang mengusahakan pelbagai bidang terutamanya dalam bidang perniagaan, selain mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang lain," ujarnya.
    Pada majlis itu, Abdul Azeez turut menyampaikan sumbangan ang pau dan buah limau kepada 1,400 masyarakat Cina di Baling, Kuala Pegang, Kampung Kejai, Malau dan Kuala Ketil sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
    Sumber : Sinar