BOLEH NIAGA TANPA LESEN TAPI BERSYARAT



23boleh
BALING 23 Januari - Peniaga dalam daerah ini tidak perlu bimbang untuk meneruskan perniagaan walaupun tidak mempunyai lesen sah.
Ahli Majlis Daerah Baling, Mohd Taufik Yaacob berkata, perniagaan tanpa lesen dibenarkan dengan syarat peniaga tidak menghalang lalu lintas dan mengganggu ketenteraman masyarakat setempat.
Menurutnya, golongan berkenaan tidak terkecuali daripada menanggung kos sara hidup yang tinggi dan tidak sewajarnya dikenakan tindakan.
“Saya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk merobohkan binaan tempat atau kedai yang tidak mempunyai lesen. Saya tidak bersetuju dengan tindakan seumpama itu.
“Sebelum tindakan roboh binaan dilakukan, pihak berkuasa perlu berbincang terlebih dahulu dengan peniaga. Peluang harus diberi memandangkan mereka hanya mencari sesuap nasi untuk menampung keluarga. Beri peluang kepada peniaga tanpa lesen untuk teruskan perniagaan hingga keadaan ekonomi pulih,” katanya, semalam.
Menurut Mohd Taufik, pihak berkuasa diingatkan untuk bertindak lebih telus, berhemah dan tidak mengambil kesempatan ke atas peniaga yang melakukan kesalahan.
Katanya, beliau juga akan berusaha bagi memastikan permohonan peniaga untuk memiliki lesen perniagaan berjaya.
“Peniaga mendakwa dizalimi penguat kuasa boleh berjumpa dengan saya. Dengan izin ALLAH, perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat. Kunci utama saya adalah membela masyarakat tanpa mengira fahaman politik.
"Jawatan ini bukan untuk berseronok atau megah, sebaliknya amanah yang perlu dipikul. Keadilan perlu ditegakkan bagi semua pihak," katanya.
"Kita juga akan mencadangkan permohonan peniaga untuk mempunyai lesen diluluskan segera supaya aktiviti perniagaan dapat dijalankan dengan lebih sempurna dan tanpa diganggu mana-mana pihak,” katanya.
Tambah Mohd Taufik, peniaga tempatan akan diberi keutamaan mengisi premis perniagaan dalam daerah ini.
“Kebiasaan peniaga luar banyak masuk berniaga di sini, jadi saya akan saran kepada pihak berkaitan untuk beri keutamaan kepada peniaga tempatan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Taufik bersama 21 individu lain mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Daerah yang baharu pada 18 Januari lalu di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Baling.
Sumber : Sinar