Masyarakat Pelbagai Kaum Perlu Hidup Harmoni

2harmoniHarun Aziz (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada warga emas sempena program Penghayatan 1Malaysia Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah di Tapak Pertanian, Kampung Pokok Sena, Baling, Kedah, baru-baru ini. - UTUSAN/Norlia Ramli

BALING 2 Jun - Masyarakat pelbagai kaum di negeri ini disarankan supaya mempunyai satu matlamat untuk hidup dalam keadaan aman serta penuh kemakmuran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Harun Aziz berkata, jika ahli komuniti mahu hidup dalam keadaan aman damai maka semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menjaga keamanan.

"Jika mahukan kemakmuran dan kebahagiaan, maka perlu ada keamanan dan kita semua perlu bertanggungjawab untuk menjaganya.

"Kepentingan hidup bersama dalam komuniti harus dititikberatkan dan dipupuk supaya terus kekal bagi memelihara kesejahteraan negara," katanya ketika berucap dalam majlis Penghayatan 1Malaysia Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah di Tapak Pertanian, Kampung Pokok Sena di sini baru-baru ini.

Program itu turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran daripada agensi-agensi kerajaan di samping penjualan hasil produk komuniti dan juga sukaneka.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan turut diadakan bagi pengambilan anggota baru Askar Wataniah dan juga pelajar GiatMara.

Menurut Harun, Komuniti 1Malaysia (K1M) merupakan salah satu ejen kerajaan dalam usaha menyebarkan maklumat dan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Pengerusi K1M, Jamaliah Azizan berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan dalam melaksana transformasi untuk mendekatkan agensi kerajaan dengan ahli masyarakat.

"Usaha mempelbagaikan program dan pendekatan bersama rakyat menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sentiasa berusaha untuk memenangi hati rakyat.

"Jalinan ini perlu diperkukuh dengan menyemai rasa cinta rakyat kepada negara dan turut sama menghayati dan lebih bersepakat dalam menjaga perpaduan," katanya.

Sumber:Utusan