Tanjung Chali Tarikan Baru Pelancong

4chali
ALOR SETAR 4 Ogos – Dataran Tanjung Chali yang merupakan antara kawasan pelancongan terbiar di Kedah akan dibangunkan semula dengan pelbagai kemudahan dan tarikan baru pelancong.

Cadangan itu disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid.

Beliau berkata, perkara itu mampu menjadikan ia sebagai tarikan baru pelancong ke negeri ini selain tempat-tempat lain yang sudah terkenal di seluruh negara.

Menurutnya, perbincangan bersama Kementerian Pelancongan Malaysia dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengenai hasrat tersebut juga menunjukkan hasil yang positif.

“Saya masih menantikan surat kebenaran daripada MBAS untuk kita mula laksanakan kerja-kerja pengindahan dan menaiktaraf Tanjung Chali.

“Pada pertemuan awal itu, mereka amat mengalu-alukan cadangan tersebut dan beberapa perkara masih dalam penilaian,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja pengindahan semula kawasan tersebut dijangka mengambil masa selama tiga bulan untuk siap sepenuhnya.

“Saya yakin, kalau kita boleh menaiktaraf dan memajukan semula Tanjung Chali ini, pelancong tidak akan rasa rugi apabila datang ke sini.

“Malah, mereka juga boleh merasai sendiri pelbagai pengalaman menarik termasuk menikmati pemandangan indah Bandaraya Alor Setar dari atas Menara Tanjung Chali,” ujarnya.

Katanya, selain memperindah kawasan tersebut, beberapa restoran terapung juga akan dibina di kawasan sekitarnya sebagai kemudahan untuk pelancong yang datang ke situ.

“Apabila kawasan itu didatangi pelbagai pelancong dari seluruh negara dan luar negara, sudah tentu mereka ingin merasai pengalaman menetap di situ. Mungkin kita boleh membina beberapa hotel bajet dan homestay juga di situ.

“Pada masa sama, keadaan rumah penduduk di kawasan sekitarnya pula akan diperindah supaya ia nampak lebih menarik dan cantik,” katanya.

Beliau berkata, projek bernilai RM6 juta itu juga sudah mendapat persetujuan bersama daripada semua Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO).

Sumber:UMTK