Rancangan Buat Teater Atas Air


4teater
ALOR SETAR 4 Ogos - Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan aktiviti sukan air peringkat antarabangsa di Tanjung Chali sekiranya cadangan memperindah dan menaiktarafnya direalisasikan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, beliau sudah mengenal pasti syarikat yang akan mengendalikan sukan tersebut.

“Saya melihat pelbagai aktiviti menarik boleh diadakan di Tanjung Chali untuk mempromosikannya kepada orang ramai dan pelancong luar.

“Antaranya mungkin kita boleh laksanakan sukan air sebagai aktiviti tahunan yang akan melalui sungai di Tanjung Chali sehingga ke Sungai Anak Bukit,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan sukan air tersebut akan dikendalikan oleh sebuah syarikat tempatan swasta yang berpengalaman dan pernah terlibat bangunkan Langkawi.

“Lebih menarik kalau kita tambah aktiviti di situ dengan peruntukan teater dalam air dan perlawanan perahu yang akan menyusuri Sungai Langgar dan Padang Terap.

“Banyak lagi program yang boleh dilaksanakan di situ sekiranya kita dapat menggunakan sebaiknya kelebihan Tanjung Chali itu sebagai tarikan baru pelancong ke negeri ini,” katanya. 

Menurutnya, dengan terwujudnya aktiviti tersebut, maka sungai-sungai di negeri ini juga dapat dibaik pulih keadaan dan salurannya supaya kelihatan cantik seperti sungai di negeri lain.

“Kita akan cuba laksanakan cadangan ini dengan menggunakan peruntukan yang sedia ada terlebih dahulu. Saya yakin, walaupun keindahannya tidaklah seperti sungai di negeri lain, tetapi kita dapat mengindahkannya dengan pelbagai aktiviti menarik,” ujarnya.

Sumber:UMTK