Rangka Strategi Basmi Kemiskinan

5miskin
ALOR SETAR 5 Ogos – Kerajaan Negeri sedang menyusun serta merangka beberapa strategi penting bagi melaksanakan pelan pembasmian kemiskinan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah berkata, melalui portfolio yang disandangnya satu kerangka strategik 3P iaitu penerangan, pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan sudah dibentuk.

Menurutnya, mesyuarat jawatankuasa peringkat awal turut melibatkan beberapa jabatan termasuk ahli akademik dalam menentukan hala tuju rangka kerja pelan berkenaan.

“Kita turut menjemput wakil dari Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Pejabat Pembangunan Persekutuan Kedah dan beberapa jabatan terlibat untuk mendapatkan pandangan serta cadangan bagi dimasukkan dalam rangka pelan itu,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pelan susulan lanjut akan dilaksanakan selepas Aidilfitri ini supaya pelaksanaannya dapat dibuat dengan lebih berkesan.

“Aspek yang akan ditekankan termasuk hala tuju pelan, tumpuan kawasan luar bandar kerana kebanyakan undi diperolehi dari kawasan itu di samping meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

“Buat masa sekarang, pelan rancangan awal tidak boleh diterangkan secara terperinci. Namun, kita akan buat hebahan secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan semasa,” katanya.

Sumber:UMTK