Kajian Terperinci Sebelum Bentang EPU

5epu
ALOR SETAR 5 Ogos – Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim adalah perkara yang diberi keutamaan dalam pembentangan permohonan bagi Rancangan Malaysia ke-11.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, maklumat awal dan rasional pembinaan lapangan terbang itu sudah dibentang kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Senator Dato’ Seri Abdul Wahid Omar baru-baru ini.

“Buat masa ini, Jawatankuasa Makmal Transformasi sedang menyediakan cadangan kajian feasibiliti untuk melihat sejauh mana projek itu praktikal dilaksanakan. Laporan itu akan dibentang secara terperinci kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya.

Menurutnya, pembentangan itu kelak merangkumi semua aspek menyeluruh oleh konsultan yang dilantik.

“Kajian akan dikoordinasi bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kerana lapangan terbang itu bukan sahaja untuk kegunaan Kedah tetapi seluruh Wilayah Utara. Saya harap kajian akan dimulakan secepat mungkin kerana ia ambil masa untuk disiapkan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pihaknya yakin adanya keperluan untuk Wilayah Utara memiliki sebuah lagi lapangan terbang baru yang lebih efisien dan lengkap.

“Jika semuanya berjalan lancar, projek diluluskan, ia akan dimasukkan bawah Rancangan Malaysia ke-11. Walaupun masih jauh tempohnya, namun persediaan awal perlu dibuat bermula sekarang kerana projek ini mengambil masa.

“Sebelum lapangan terbang dibina, kemudahan infrastruktur termasuk jaringan pengangkutan perlu dinaiktaraf terlebih dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu memberitahu, kajian dan justifikasi sebuah lapangan terbang baru wajar dibina di Selatan Kedah sudah dilakukan, antaranya untuk melengkapkan pembangunan secara menyeluruh di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) selaras dengan Pelan Transformasi KHTP.

“Ini bukan projek yang membazir. Ini keperluan masa depan untuk Wilayah Utara dalam menyediakan perkhidmatan lengkap kepada pelabur dan pemain industri. Saya percaya ia juga penting untuk pembangunan Koridor Utara dalam merancakkan lagi pembangunan industri,” katanya.

Menurutnya, fungsi lapangan terbang itu juga kelak lebih menyeluruh dan mempunyai landskap berbeza dengan lapangan terbang berdekatan, antaranya mempunyai dua landasan bagi kegunaan kargo dan penumpang.

Sumber:UMTK