SUNGAI PETANI 23 Julai - Menunaikan tanggungjawab sosial dalam bulan Ramadan termasuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan dapat memupuk dan merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya berkata,
usaha itu bukan sahaja memberi erti yang besar dalam membantu golongan
yang memerlukan bantuan, malah dapat memastikan pemimpin rakyat peka
terhadap keperluan dan masalah rakyat.
"Walau
semaju mana pun sesebuah negara, amalan kemasyarakatan seperti
tolong-menolong perlu terus dipupuk demi mewujudkan sebuah masyarakat
sejahtera," katanya pada majlis penyampaian sumbangan zakat kepada 68
asnaf di Masjid Puteri Jaya, di sini.
Menurutnya,
pelaksanaan kerja-kerja sosial bukan merupakan satu tugas mudah kerana
perkara tersebut memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
Sehubungan
itu, beliau mahu lebih banyak pihak tampil menjayakan tanggungjawab
sosial terutama membantu meringankan beban golongan miskin agar mereka
turut sama meraikan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut
tidak lama lagi.
Tambahnya,
hal demikian kerana golongan kurang bernasib baik termasuk warga emas
serta anak yatim memerlukan bimbingan, panduan dan peluang untuk
meneruskan hidup mereka pada masa depan.
Sumber:UMTK