ALOR
SETAR 24 Julai – Sebanyak lima pasar tani baru akan dibuka di
lokasi-lokasi yang terpilih di negeri ini bagi memberi lebih banyak
pilihan kepada pengguna untuk membeli pelbagai jenis barangan keperluan
dengan harga berpatutan.
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan
Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata,
antara pasar tani baru yang akan dibuka adalah di Alor Setar, Padang
Terap, Pendang, Kulim serta Kubang Pasu.
“Buat
masa ini, di Kedah terdapat 18 lokasi pasar tani dengan 40 kali operasi
pada setiap minggu dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
sedang dalam proses untuk menambah bilangan pasar tani di negeri ini.
“Lokasi
di mana pasar tani ini akan beroperasi bergantung kepada kelulusan
majlis daerah dan saya yakin dengan keadaan pasar tani yang berwajah
baru dengan barangan yang lebih tersusun.
“Lebih
ramai pengguna akan memilih pasar tani untuk membeli barangan keperluan
mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pasar
Tani Pra-Syawal Peringkat Negeri Kedah di Pasar Tani Taman Wira Mergong,
di sini.
Menurutnya,
sempena musim perayaan ini juga, pengguna berpeluang mendapatkan harga
barangan dengan lebih murah iaitu sekitar lima hingga 20 peratus bagi
barangan yang terpilih.
“Pengguna
kena bijak mencari barangan yang dijual di gerai-gerai yang mempunyai
tanda ‘jimat harga dapur’ bagi mendapatkan barangan dengan lebih murah.
“Pada
musim-musim perayaan seperti ini, kita mesti mengambil peluang
sebaiknya bagi mendapatkan barangan dengan harga yang berpatutan di
pasar tani,” ujarnya.
Dalam
pada itu, katanya, proses pembinaan Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR)
di Kuala Kedah juga berjalan dengan lancar dan dijangka siap sepenuhnya
menjelang akhir tahun ini dan bakal dirasmikan pada tahun 2015.
“Pembinaan
yang melibatkan kos sebanyak RM3.4 juta ini akan beroperasi 24 jam yang
mana melibatkan tiga giliran iaitu pada waktu pagi, petang dan malam
dan peniaga tidak perlu lagi menggunakan khemah untuk berniaga,”
katanya.
Sumber:UMTK