ALOR
SETAR 22 Julai - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) tidak perlu malu
untuk mendapatkan nasihat daripada pakar bagi mengekalkan status
Langkawi sebagai Geopark.
Pengerusi
Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga
Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, LADA
perlu membuat rujukan dan analisa daripada orang yang berpengalaman dan
taman-taman geopark lain.
Menurutnya,
melalui rujukan tersebut, idea baru akan diperoleh dalam menambahbaik
Langkawi Geopark tanpa menjejaskan status yang diiktiraf Pertubuhan
Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNESCO).
“Kalau
ada amaran daripada UNESCO itu, LADA dan pihak bertanggungjawab perlu
cepat bertindak, cari jalan apa yang perlu diperbaiki.
“Mereka
boleh minta pendapat-pendapat yang sebelum ini seperti pengasas Geopark
Langkawi, Profesor Dato’ Dr Ibrahim Komoo dan membuat lawatan ke taman
dunia lain sebagai rujukan dalam mendapatkan inspirasi.
“Bukan senang kita nak dapatkan taraf Geopark yang diiktiraf UNESCO yang pertama di Asia Tenggara. Jadi, sebarang bentuk tambah baik perlu diberi nafas baru supaya sentiasa segar,” katanya.
Media massa baru-baru ini melaporkan ada dakwaan menyatakan Langkawi Geopark menerima ‘kad kuning’ daripada UNESCO ekoran pihak berkuasa gagal patuhi amalan pemuliharaan yang mampan.
Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli dan berkata, dakwaan tersebut tidak benar setelah mereka membelanjakan hampir RM38 juta untuk penambahbaikan Langkawi Geopark.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, semua pihak perlu bersama-sama menjaga produk pelancongan terutamanya yang mendapat pengiktirafan UNESCO kerana ia sangat berharga.
“Kita perlu bersama-sama menjaga produk kita ini, bukan senang nak dapat kerana ia sangat berharga, selain mampu menjana pendapatan dalam sektor pelancongan dan sebagainya,” ujarnya.
Sumber:UMTK