ALOR
SETAR 24 Julai – Umat Islam di negara ini dapat menjalani ibadah puasa
dengan aman kerana jasa dan khidmat bakti yang diberikan oleh
anggota–anggota keselamatan negara.
Yang
Dipertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri Bekas Wakil
Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kedah (BIDARA), Tok Puan
Norzieta Zakaria berkata, sebagai warganegara Malaysia, kita harus
bersyukur atas nikmat keamanan yang dikurniakan Allah SWT dan mestilah
berusaha untuk mempertahankannya.
“Namun
begitu, janganlah kita lupa kepada saudara Islam di bumi Palestin yang
sedang bersedih dan berusaha menyelamatkan diri dari bedilan roket yang
dilancar rejim Zionis.
“Keganasan
serta serangan itu menyebabkan ramai rakyat Palestin termasuk
kanak-kanak telah terkorban manakala beratus-ratus lagi tercedera.
Marilah kita panjatkan doa kepada Allah SWT supaya Palestin kembali
aman,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kuih raya kepada
anggota-anggota keselamatan negara di Negeri Kedah di Dewan Seri Melor,
Mentaloon, di sini.
Menurutnya,
beberapa hari lalu negara telah dikejutkan dengan peristiwa Pesawat
MH17 yang terhempas setelah ditembak pengganas di kawasan perkampungan
Donetsk di sempadan Ukraine dan Rusia.
“Di
kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima
kasih dan syabas kepada anggota-anggota keselamatan negara di Negeri
Kedah atas khidmat cemerlang mereka dalam memelihara keamanan serta
kesejahteraan rakyat Negeri Kedah,” ujarnya.
Turut
hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis
(PERKEP), Datin Rodziah Yob; Timbalan Pengerusi PERKEP, DCP Dato’ Zaleha
Abdul Rahman; Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Anggota Tentera
(BAKAT), Puan Endahsari Abdul Rahman; Pengerusi Persatuan Isteri-Isteri
Bomba dan Penyelamat (PRISMA), Puan Rosmah Abu Bakar serta Pengerusi
Persatuan Isteri, Anak-Anak dan Anggota Wanita Penjara Malaysia
(PERSIAP), Datin Fauziah Ishak.
Sumber:UMTK