ALOR
SETAR 24 Julai – Kerajaan Negeri berhasrat membina sebuah makam
syuhada sekitar Masjid Zahir untuk memperingati pejuang yang mati syahid
ketika berlaku peperangan antara Siam dan Kedah pada tahun 1821.
Pengerusi
Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga
Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata,
pelaksanaannya perlu mendapat perkenan Sultan Kedah yang juga Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Idea
mewujudkan makam itu tercetus hasil lawatannya ke Kota Iskandariah,
Mesir yang terkenal dengan sejarahnya. Tidak ramai yang mengetahui
sewaktu peperangan itu, 1,019 pejuang mati syahid dan sebahagiannya
dikebumikan di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun,
hanya maklumat ringkas diterangkan mengenai pusara pejuang terbabit.
Jika boleh kita mahu perincikan lagi sejarah mereka yang syahid supaya
kisahnya dapat dijadikan teladan kepada masyarakat,” katanya kepada
pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini.
Beliau
menjelaskan, pembinaan makam itu kelak bakal menarik kunjungan lebih
ramai pelancong melalui pelancongan berbentuk dakwah atau kerohanian.
“Selalunya
ramai yang berminat mengetahui kisah alim ulama, contohnya melawat
kawasan tanah rata puncak Gunung Jerai yang dipanggil ‘Padang Tok
Sheikh’ sempena nama Sheikh Abdullah seorang pendeta Arab yang berusaha
mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah.
“Sebagai
peringkat permulaan, saya sudah berbincang dengan Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul
Urus Mat Zain supaya arkitek yang menjalankan kerja pengubahsuaian
dalam kawasan Masjid Zahir memperuntukkan sudut khas untuk tujuan
berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya, Kedah adalah antara negeri paling ramai syuhada kerana sering terlibat dalam peperangan pada masa lampau.
Sumber:UMTK