RM30,000 Dana Lukisan 2 Milennia Sejarah Kedah

22lukisan
SINTOK 22 Julai - Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak RM30,000 kepada Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha memperkasakan sumber sejarah untuk tatapan generasi akan datang.

Dana khas itu sekali gus menyemarakkan lagi kerjasama  penyelidikan antara Kerajaan Negeri Kedah dan IPDM bagi mendokumentasikan semula sejarah Negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), YB. Aminuddin Omar berkata, salah satu sebab peradaban Melayu tidak dapat berkembang dengan luas adalah kerana kelemahan aspek dokumentasi dalam peradaban Melayu.

“Hampir semua bukti sejarah peradaban Melayu tidak mempunyai bukti sejarah yang tertulis.

Banyak fakta-fakta penting seperti riwayat Kerajaan Melaka atau Lagenda Hang Tuah tidak mempunyai bukti yang kukuh selain dari sekadar cerita dan dogengan masyarakat.

"Justeru itu, Kerajaan Negeri mengorak langkah bagi mendokumentasikan kembali sejarah Negeri Kedah dan IPDM diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk menghasilkan kembali sejarah Negeri Kedah untuk dijadikan hadiah buat generasi akan datang agar warisan ini tidak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan dana penyelidikan Lukisan 2 Milennia Sejarah Kedah Kepada IPDM di UUM, di sini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah IPDM, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, hasil kerjasama penyelidikan itu, pihaknya akan menghasilkan Lukisan 2 Milennia Sejarah Kedah yang secara tidak langsung memberi nafas baru dalam pensejarahan Negeri Kedah.

Menurutnya, senario dunia yang kian mencabar dan menuntut kecemerlangan dalam setiap bidang, sesebuah institusi itu tidak boleh bergerak sendirian.

“Kerjasama sebegini amat penting untuk penggemblengan sumber penyelidikan dan inovasi yang bersifat multidisiplin dan mengoptimumkan potensi sumber pakar dan kepakaran universiti.

"Dalam usaha ini, perbincangan juga dibuat bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah untuk menjadi rakan strategik IPDM dalam menjayakan projek mendokumentasikan sejarah Negeri Kedah," katanya.

Sumber:UMTK