ALOR
SETAR 21 Julai - Polis Kedah akan menempatkan lebih ramai anggota bagi
memantau 41 kawasan panas yang sering berlaku kemalangan sepanjang Ops
Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri yang bermula hari ini hingga 4 Ogos
nanti.
Ketua
Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, antara lokasi tumpuan ialah
di daerah Kuala Muda iaitu Kilometer 45, Jalan Alor Setar-Butterworth
dan Kilometer 4, Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil yang sering mencatatkan
jumlah kemalangan maut yang tinggi setiap kali musim perayaan.
"Dalam
operasi kali ini akan memberikan pengkhususan kepada 41 lokasi
kemalangan termasuk dua lokasi tumpuan yang sering berlaku kemalangan di
negeri ini.
"Bagi
tujuan itu, kita akan menempatkan lebih ramai anggota dan pegawai di
lokasi-lokasi yang terlibat untuk melakukan pemantauan dan
penguatkuasaan, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,"
katanya ketika melancarkan Ops Selamat Siri 5/2014 peringkat negeri di
Plaza Tol Alor Setar (Selatan) di sini hari ini.
Menurut
Ahmad, sejak Ops Selamat dilancarkan pada 2012, jumlah kemalangan jalan
raya di negeri itu didapati menurun sebanyak empat peratus.
"Pada
tahun lalu, sebanyak 1,098 kemalangan direkodkan membabitkan 19
kematian berbanding 1,147 kemalangan dan 23 kematian pada tahun 2012.
"Kita harapkan kempen dan penguatkuasaan yang dilakukan pada tahun ini juga menunjukkan kesan positif," ujarnya.
Dalam
pada itu, beliau berkata, selain tumpuan di jalan raya, keselamatan
rumah yang ditinggalkan sempena musim perayaan juga perlu diberi
perhatian oleh orang ramai.
"Polis
menyediakan borang balik kampung yang boleh dimuat turun daripada laman
web Polis Diraja Malaysia atau di balai-balai polis berhampiran untuk
diisi oleh orang ramai yang meninggalkan rumah," katanya.
Sumber:Utusan