307 Pelajar IPT Terima Sumbangan

22ipt
ALOR SETAR 22 Julai – Seramai 307 pelajar di Parlimen Alor Setar menerima sumbangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2013 di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, YB. Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sumbangan bernilai RM126,700 daripada Kerajaan Negeri Kedah sebagai semangat kepada pelajar di negeri ini untuk menyambung pengajian.

“Sebanyak 21 pelajar peringkat sijil menerima RM100  manakala 92 pelajar peringkat diploma menerima RM300 diikuti 194 pelajar peringkat ijazah menerima RM500 setiap seorang.

“Pihak kami mengharapkan pelajar yang menerima sumbangan ini menggunakan wang dengan sebaiknya untuk tujuan pengajian masing-masing,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang berminat mendapat sumbangan untuk 2014, ibu bapa pelajar boleh mengemukakan dokumen berkaitan ke pusat khidmatnya.

“Kita masih membuka permohonan sehingga kini. Sebenarnya ada yang masih belum mengetahui bantuan Kerajaan Negeri termasuklah sumbangan wang IPT ini.

“Sesiapa berhasrat mendapatkan sumbangan diminta membawa salinan surat tawaran pengajian dan kad pengenalan ke Pusat Khidmat DUN Bakar Bata,” ujarnya.

Sumber:UMTK