MUKHRIZ
Mahathir (kiri) menyampaikan Kit Kelahiran kepada seorang ibu bersama
anakanya dalam majlis pelancaran Kit Kelahiran di Sungai Petani, Kedah,
kelmarin. - utusan/OPAT RATTANACHOT
SUNGAI
PETANI 3 Mac - Kerajaan negeri Kedah akan menghulurkan sumbangan Kit
Kelahiran kepada semua bayi yang baharu dilahirkan di negeri ini bermula
bulan ini.
Kit
Kelahiran yang mengandungi keperluan khas bayi seperti botol susu,
selimut dan pakaian itu diedarkan melalui hospital-hospital dan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.
Menteri
Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, inisiatif terbaharu
itu merupakan salah satu manifestasi kepada manifesto kerajaan Barisan
Nasional (BN) yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Katanya,
sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi projek tersebut yang dijalankan
melalui Skim Insentif Kelahiran Anak yang dijangka memanfaatkan 35,000
bayi baharu lahir sehingga akhir tahun ini.
"Kerajaan
menyedari bahawa anak merupakan permata hati keluarga dan aset negara
pada masa hadapan, justeru, kehadiran mereka perlu dirai dan dihargai.
"Sebagai
kerajaan yang sentiasa mendengar keperluan rakyat, maka Skim Insentif
Kelahiran Anak merupakan satu penghargaan kerajaan kepada pasangan suami
isteri yang akan menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga
mereka," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran skim berkenaan
di sini semalam.
Mukhriz berkata, skim tersebut merupakan tambahan kepada bantuan kewangan sedia ada di bawah JKM negeri.
Katanya,
kerajaan secara berterusan juga berusaha meningkatkan kualiti hidup
golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada kelompok rakyat
yang tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran.
"Selain
skim tersebut, kerajaan negeri turut bersetuju meluluskan bajet
sebanyak RM19.5 juta di bawah Rancangan Bantuan Am Negeri pada 2014 yang
dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 orang penerima," katanya.
Sumber:Utusan