Tamadun Kedah Tua Dijumpai

Oleh OPAT RATTANACHOT
4kedahtuaSEBAHAGIAN daripada orang ramai mengunjungi Tapak Arkeologi Sungai Batu sempena program Jom Cari Kedah Tua di Merbok, Kedah, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI 4 Mac - Semua pihak perlu memainkan peranan memupuk kesedaran berhubung penemuan tapak arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang dekat sini bagi mengelak berlakunya pemusnahan khazanah warisan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penyelidikan Tamadun Awal Kedah Tua, Mohd. Tarmizi Wahab berkata, pendedahan tentang kepentingan penemuan artifak juga mampu mengelakkan warisan ketamadunan diceroboh atau dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab seperti yang berlaku di kawasan Merbok baru-baru ini.

Sehingga kini katanya, masih ramai tidak menyedari tentang kewujudan tamadun awal Kedah Tua di Sungai Batu meskipun kerja-kerja penyelidikan dijalankan sejak lima tahun lalu.

"Ramai yang belum sedar tentang kepentingan penemuan khazanah warisan di sini. Malah, penduduk tempatan juga kurang arif tentang perkara tersebut. Kita tidak mahu perkara ini diabaikan sehingga masyarakat setempat sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik kerja-kerja ekskavasi yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPGA) Universiti Sains Malaysia (USM) di Sungai Batu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Program Jom Cari Kedah Tua di Tapak Arkeologi Sungai Batu, Kedah yang disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sini baru-baru ini.

Mohd. Tarmizi berkata, berdasarkan tinjauan yang dilakukan, ada di antara masyarakat tempatan menyangka lokasi penemuan artifak itu merupakan tempat peliharaan ternakan secara komersial.

Bagi mengatasi masalah salah faham tersebut, katanya, penubuhan sekretariat berkenaan diharap menjadi platform terbaik untuk memberikan kesedaran dan maklumat kepada orang awam berhubung usaha memelihara serta memulihara artifak sejarah.

"Sekretariat ini dianggotai secara sukarela oleh individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Dengan tertubuhnya badan ini, kita berharap mampu menyebarkan maklumat berhubung Kedah Tua kepada semua golongan masyarakat,’’ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, PPGA USM memerlukan komitmen pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menjalankan kajian berkenaan.

Katanya, buat masa ini terdapat beberapa kekangan dari segi kemudahan infrastruktur di situ.

"Berdasarkan perancangan, kawasan kajian ini perlu dilengkapi dengan perpustakaan mini, pintu gerbang, papan tanda arah dan kemudahan asas lain seperti air dan bekalan elektrik," katanya.

Sumber: Utusan