ALOR
SETAR 3 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir
menasihatkan rakyat negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah
sepanjang musim kemarau yang dijangka berlarutan sehingga hujung bulan
ini.
Menurut
beliau, walaupun negeri ini belum mengalami masalah bekalan air namun
amalan menggunakan air dengan jimat termasuk mencatunya di rumah amat
digalakkan.
"Dari
segi bekalan air ia mencukupi. Walaupun Kedah satu-satunya negeri yang
banyak bekalan air namun tidak salah kalau buat catuan jika tidak di
peringkat negeri di peringkat pengguna.
"Dari
segi kegunaan air eloklah berjimat jangan tunggu sehingga tidak ada air
baru nak berjimat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis
Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di Seri
Mentaloon di sini, hari ini.
Pada
majlis tersebut beliau menyampaikan anugerah sumbangan Lembaga Biasiswa
Negeri Kedah (LBNK) kepada 149 pelajar yang memperoleh keputusan
cemerlang PMR pada tahun lepas.
Hadir
sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya
negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk
Mansor Lat.
Mukhriz
menambah, bekalan air di negeri ini hanya mencukupi sehingga hujung
bulan ini dan jika masih tiada hujan catuan bekalan air mungkin terpaksa
dilakukan.
"Doakanlah
hujan sebelum hujung bulan ini. Kita juga menggalakkan agar semua
masjid serta surau di seluruh negeri ini mengadakan solat hajat memohon
hujan," katanya.
Terdahulu
berucap pada majlis tersebut, Mukhriz berkata, sejajar dengan moto
'Bersama Memacu Transformasi' LBNK merangka beberapa program serta
kemudahan biasiswa dan pinjaman bagi membantu meningkatkan kecemerlangan
pendidikan.
Katanya,
LBNK ditubuhkan sejak 1958 dan memberi biasiswa kepada seramai 2,710
pelajar sekolah menengah, selain pinjaman pelajaran kepada pelajar yang
melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang
terpilih.
"LBNK sangat mengambil berat tentang kebajikan dan pencapaian akademik pelajar yang menerima pinjaman tersebut.
"Pelajar
yang menerima pinjaman dan mendapat keputusan yang cemerlang iaitu
memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.75 ke atas, layak
dipertimbangkan untuk menukarkan pinjaman kepada biasiswa sepenuhnya.
"Pelajar
yang mendapat keputusan 3.5 layak mendapat diskaun sebanyak 50 peratus.
Oleh yang demikian, pelajar-pelajar ini mestilah berusaha agar mendapat
keputusan yang cemerlang dan secara automatik pinjaman ini akan
ditukarkan kepada biasiswa yang tidak perlu dibayar balik," katanya.
Katanya,
kerajaan negeri akan menawarkan lebih biasiswa tersebut kepada pelajar
cemerlang layak terutama mereka di kalangan berpendapatan rendah.
Sumber: Utusan