SADA Diminta Seragamkan Tarif Air Di KHTP

tarifair

ALOR SETAR 5 September - Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) diminta membuat kajian dan mengesyorkan satu kadar rata tarif air yang kompetitif untuk digunakan secara seragam bagi semua akaun kilang di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) bermula 1 Ogos tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, penyeragaman kadar tarif air itu dipohon Persatuan Pengusaha Syarikat Perindustrian Kulim (KITA) dalam perbincangan dengan wakil kerajaan negeri baru-baru ini ekoran kadar yang berbeza ketika ini.

"Kita berharap ada satu kadar yang seragam dan mesti kompetitif jika dibandingkan dengan negeri jiran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Menurut Mukhriz, hasil perbincangan itu juga, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan kadar tarif air kategori T3 (bermula RM1.05 satu meter padu) kepada 21 akaun melibatkan 15 kilang yang selama ini mendapat keistimewaan sehingga 31 Julai tahun depan.

Kata beliau, bermula 1 Ogos 2014, SADA akan mengguna pakai tarif air kategori T4 untuk semua pengilang di KHTP termasuk 21 akaun yang menikmati kadar tarif istimewa itu.

"Bagaimanapun SADA diminta membuat kajian dan mengesyorkan satu kadar tarif air bermula tarikh itu," ujar beliau.

Tambahnya, pengumuman mengenai tarif air itu dibuat supaya kilang-kilang di KHTP dapat merancang dari segi kos operasi melibatkan penggunaan air sekali gus mengelakkan kekeliruan mengenainya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, menerusi Program Transformasi Ekonomi Sempadan (BETP) melibatkan kawasan sempadan Kedah dengan Thailand, Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan menjadi kawasan industri baharu.

Katanya, kerajaan negeri mengharapkan kawasan tersebut menjadi taman sains dan teknologi yang akan menarik pelaburan dari seluruh dunia dalam teknologi terkini sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan berteraskan teknologi.

"Kita juga mahu menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai kawasan perdagangan dan perniagaan supaya pelancong yang menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand dapat membeli belah di situ.

"Ini memberi peluang perniagaan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan untuk menjual produk mereka," katanya.

Mengenai perkembangan rancangan pembangunan bandar raya getah di Padang Terap, Mukhriz berkata, wakil kerajaan negeri akan membentangkan kertas kerja mengenainya di China pada bulan depan.

Kata beliau, bagi menerangkan kepada pelabur-pelabur di sana mengenai peluang yang diwujudkan di bandar raya getah berkenaan dengan harapan mereka menempatkan pelaburan berkaitan dengan getah di kawasan itu.

Sumber: Utusan