Keda Bantu Transformasi Kedah

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

kedatransformasi

Mukhriz Tun Dr. Mahathir beramah mesra dengan para penerima anugerah sewaktu majlis makan malam dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kedah di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 8 Julai - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) diminta bersama-sama menjayakan usaha transformasi Kedah yang sekali gus membantu kerajaan negeri menunaikan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, sebagai peneraju program pembasmian kemiskinan luar bandar, Keda diharap dapat meneruskan usaha dengan lebih berkesan selain melaksanakan pembinaan lebih banyak rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).

"Pengalaman Keda dalam membangunkan kawasan luar bandar, membina rumah-rumah dan penempatan untuk golongan termiskin tentunya dapat mempercepatkan usaha kerajaan negeri mengatasi masalah pemilikan rumah di kalangan rakyat.

"Di samping itu, program-program latihan kemahiran dan kerjaya kepada anak keluarga miskin, program ekonomi keluarga miskin serta program kecemerlangan pelajar miskin hendaklah dipertingkatkan bagi membantu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Keda 2012 di sini malam tadi.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali; Pengurus Besar Keda, Datuk Mohd. Arpan Shari, Pegawai Kemajuan negeri, Datuk Azmi Lateh dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Keda, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi.

Mukhriz berkata, usaha Keda dalam membangunkan industri kecil dan sederhana serta usahawan tani juga perlu dipertingkatkan dan diberi pendekatan baharu manakala aspek pertanian komersial dan pemulihan tanah-tanah terbiar hendaklah dimajukan secara lebih komersial serta komprehensif.

Menurut beliau, agensi seperti Keda sangat penting dan dapat menjadi penghubung antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri kerana sokongan Persekutuan amat diperlukan terutama dalam usaha melaksanakan program serta projek untuk manfaat rakyat.

Dalam pada itu beliau berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pegawai dan kakitangan Keda untuk berusaha mengeratkan perpaduan serta kerjasama semua lapisan masyarakat demi kemakmuran negeri selain menyedarkan rakyat mengenai peranan yang perlu dijalankan.

Katanya, Kedah tidak akan maju dan membangun jika rakyatnya tidak bersatu padu dan memberikan kerjasama serta menyokong usaha yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Kini adalah masa untuk kita membangunkan Kedah supaya kemakmuran dapat dikecapi oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman politik. Ini adalah menepati slogan Kedah Aman Makmur,"tegasnya.

Tambah Mukhriz, dalam usaha memajukan Kedah, satu transformasi perlu digerakkan dan segala kekuatan mesti digembleng disamping terus membangunkan setiap sumber yang ada di sekitar negeri ini.

Kata beliau, Kedah juga perlu meningkatkan kemahiran, kecekapan sumber manusia atau modal insan, memperkukuh dan menggerakkan sumber ekonomi dan alam.

"Saya yakin jika kita berusaha dan semua pihak menyokong usaha yang dijalankan, bukan mustahil Kedah menjadi negeri lebih maju pada masa hadapan," kata beliau lagi.

Sumber: Utusan