Karya Sastera Wajar Dimartabatkan

Oleh SAFINA RAMLI
karyasastera

MUKHRIZ Mahathir mendeklamasi puisi sambil diiringi petikan gitar Ramli Sarip sempena Malam Puisi dan Lagu Bulan Kemerdekaan di Alor Setar, malam semalam.

ALOR SETAR 3 Sept. - Hasil karya sastera sebagai cabang budaya wajar dimartabat secara kolektif untuk menjadi sebahagian pengisian bulan kemerdekaan di negara ini serta menjadi pemangkin menyemai semangat cintakan negara.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, oleh itu usaha komprehensif dan inovatif perlu dilakukan bagi melahirkan generasi muda yang kreatif supaya dapat meneruskan legasi pembinaan masyarakat melalui puisi.

"Puisi seharusnya menjadi cerminan keperibadian masyarakat negeri Kedah yang berbudaya luhur kerana tema yang dizahirkan penyair berbeza antara satu sama lain, namun persoalan manusia sejagat, permasalahan sosial dan perkembangan politik dapat digarap dan dihayati bersama.

"Setiap penyair yang memasuki dunia kreatif menuju destinasi yang sama tetapi menggunakan kaedah berbeza. Apabila puisi dan lagu bersatu, keharmoniannya dapat kita rasai dalam getaran jiwa yang memberi rangsangan kepada sebuah masyarakat madani," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Malam Puisi dan Lagu Bulan Kemerdekaan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah di Pumpong, di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, Mukhriz turut menunjukkan bakat berpuisi dengan mendeklamasikan puisi bertajuk Kedah Aman Makmur nukilan Abdul Mutalib Abdul Rahman sambil diiringi petikan gitar oleh Ramli Sarip.

Selain Mukhriz, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar turut mendeklamasi puisi.

Turut mendeklamasikan puisi ialah Puzi Hadi, Azmi Ismail, Suliha Yusuf, Khalid Salleh dan penonton turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Ramli Sarip dan kumpulan Kopratasa.

Menurut Mukhriz, program yang dianjurkan JKKN itu dilihat berupaya memberi nilai tambah terhadap kemeriahan bulan kemerdekaan melalui aktiviti seni dan budaya.

"Program pembudayaan bahasa melalui puisi taktala seluruh negara meraikan bulan kemerdekaan adalah langkah yang dianggap bertepatan.

"Malam ini satu lagi sejarah akan dirakam lantaran puisi sebagai artifak budaya yang tidak ternilai harganya memberi kefahaman bagaimana tamadun masyarakat berkembang," ujarnya.

Sumber: Utusan