Kedah Sasar Lebihan Pendapatan Dalam 5 tahun

Kuala Kedah

ALOR SETAR 4 September - Buat pertama kali dalam tempoh lima tahun, kerajaan negeri Kedah menjangka memperoleh pendapatan berlebihan bagi tahun 2013, kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, perolehan itu disumbangkan oleh hasil cukai tanah yang dijangka mencapai RM200 juta tahun ini manakala cukai taksiran lain dijangka meningkat hasil tindakan memperkemaskan sistem kutipan.

"Bajet tahun lepas mensasarkan pendapatan bagi tahun ini sebanyak RM640 juta tetapi kita jangka angka itu akan meningkat sedikit," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, perkembangan positif itu hasil Makmal Transformasi yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk membangunkan negeri melalui idea baharu membabitkan pihak berkepentingan.

Beliau turut mengumumkan Kota Perdana dalam kawasan industri Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan menjadi Taman Sains untuk menempatkan industri berteknologi baharu di Kedah.

"Taman Sains ini dirancang bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat serta menggalak perdagangan dan industri pelancongan dua hala Malaysia-Thailand.

"Kewujudannya akan membuka peluang untuk industri kecil dan sederhana tempatan berkembang manakala perdagangan dan industri pelancongan merentas sempadan Malaysia-Thailand berkembang," katanya.

Bagaimanapun, Mukhriz tidak menyatakan jangka masa pembangunan Taman Sains itu namun menjelaskan usaha menarik pelaburan bermula dengan menemui pelabur asing luar negara dalam masa terdekat.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan serta Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail akan mewakili kerajaan negeri membentangkan kertas kerja mengenai 'Bandaraya Getah' di Kota Putra, Padang Terap kepada pelabur China di Yunan, Oktober ini.

"Selain bertanggungjawab menerangkan peluang pelaburan di Kota Putra, Ku Abdul Rahman juga akan berusaha menarik pelaburan ke Taman Sains Kota Perdana," kata Mukhriz.

Katanya, mesyuarat Exco hari ini juga membuat keputusan agar kerajaan negeri meneruskan permohonan bantuan kewangan daripada Kerajaan Pusat untuk menyediakan prasarana mencukupi seperti jalan dan jambatan bagi menyokong pelaburan baharu.

Sumber: BERNAMA