ALOR
SETAR 26 Ogos - Kerajaan negeri Kedah mendapat jaminan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPP) tidak akan dipersetujui sekiranya ia memudaratkan rakyat negeri
ini.
Menteri
Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir memberitahu persidangan Dewan
Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini, jaminan berkenaan turut diberi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed.
Beliau
berkata, kesan langsung perjanjian TPP yang boleh diraih bukan saja
oleh pengeksport malah rakyat Kedah sebagai pengguna secara
keseluruhannya mendapat manfaat yang luas hasil pembukaan pasaran dari
segi pilihan barangan dan perkhidmatan.
Katanya
ia mampu membuka peluang pelaburan yang berkualiti tinggi untuk rakyat
Kedah di samping meningkatkan kualiti hidupdengan lebih baik untuk
menyiapkan diri bersaing di peringkat global.
"(Tapi)
saya juga secara langsung telah nyatakan, sampaikan kebimbangan kita
sebagai negeri yang sudah tentu akan kena tempias hasil rundingan ini
dan jaminan yang saya dapat, perjanjian ini tak akan ditandatangani
sekiranya terdapat mudarat kepada rakyat," katanya ketika menjawab
soalan Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit).
Amiruddin
mempersoalkan tentang perkara yang memberi kesan langsung dan tidak
langsung terhadap aktiviti sosioekonomi rakyat Kedah sekiranya
perjanjian TPP dipersetujui.
Ketika
menjawab soalan tambahan Amiruddin mengenai setiap Anggota Dewan
Undangan Negeri (Adun) perlu diberi kertas maklumat penting tentang
perjanjian TPP, Mukhriz berkata buat masa ini biarlah hanya kerajaan
yang berurusan dalam hal itu.
"Seperti
yang kita maklum dalam mana-mana rundingan dah tentu kita kena simpan
rahsia takut dibocor kepada pihak belah sana, maklumlah dalam perjanjian
TPP ini ada 12 negara terlibat dan sekarang ini banyak komen datang
daripada kebocoran maklumat contohnya Wikileaks.
"Kerajaan
negeri beri jaminan bahawa tidak akan ada sebarang persetujuan kalau ia
(TPP) menjejaskan Kedah khususnya dan Malaysia secara amnya. Jangan
beranggapan bahawa dalam proses rundingan, seolah-olah ia (TPP) telah
dipersetujui," katanya.
Sementara
itu ketika ditemui pemberita di luar dewan, beliau berkata dalam isu
perjanjian TPP kerajaan negeri mempunyai empat perkara penting yang
diberi penekanan iaitu pertanian, perolehan kerajaan, industri kecil dan
sederhana (IKS) danperubatan.
"Ini
antara perkara yang kita anggap penting dan kita telah sarankan kepada
Menteri agar sentiasa mengambil kira permohonan dari negeri Kedah dan
saya kira bukan negeri Kedah sahaja yang membangkitkan perkara ini,"
katanya.
Dalam
perkembangan lain, Mukhriz berkata beliau tidak keberatan untuk bertemu
dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekiranya Lim tidak
mahu isu bekalan air ke negeri itu dibincangkan di peringkat pegawai
kerajaan dari kedua-dua negeri.
"Kalau
dah terpaksa, kita pun tak boleh paksa orang (untuk benarkan pegawai
berjumpa), saya tak keberatan untuk berjumpa walaupun untuk berbincang
perkara kecil, mungkin ada perkara mudah diselesaikan, tak payah fikir
panjang boleh selesai," katanya.
Beliau
mengulas kenyataan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) yang
menyentuh mengenai keengganan kerajaan Pulau Pinang membenarkan
pegawainya berbincang dengan pegawai kerajaan negeri Kedah khususnya
Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai isu bekalan air.
Ahmad
Bashah berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah
ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada persidangan Dun di
sini hari ini.
Beliau
berkata, keengganan itu dinyatakan melalui surat rasmi yang diterima
daripada Setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang kepada pihak kerajaan
negeri Kedah.
Sumber: Bernama