Tuanku
Abdul Halim Mu'adzam Shah sambil diiringi Sharifah Hapsah Syed Hasan
Shahabudin (kanan) melihat bahan kajian berupaseranggga yang dipamerkan
di galeri Pusat Penyelidikan Langkawi di Universiti Kebangsaan Malaysia
di Langkawi, baru-baruini.
LANGKAWI
26 Ogos - Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) Kampus Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan terus
memainkan peranan dan mempergiatkan lagi penyelidikan di pulau
peranginan ini selain menyebarluaskan kepakaran untuk memartabatkan
konsep pembangunan lestari wilayah di lokasi lain di negara ini.
Naib
Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
berkata, sejak penubuhannya PPL berjaya mempertingkat dan memperluaskan
penyelidikan merangkumi aspek sumber warisan geologi dan landskap,
biologi dan marin, budaya dan tradisi setempat serta kesejahteraan alam
sekitar.
Katanya,
pembinaan kompleks baharu PPL membolehkan UKM melaksanakan rancangannya
dengan lebih berkesan antaranya untuk memperluaskan jalinan kerjasama
secara formal dalam usaha menyemarakkan pembangunan lestari.
"UKM
menyasar mewujudkan lebih banyak kerjasama terutama dalam pembangunan
industri kecil dan sederhana berkaitan ekopelancongan. Kami juga sedia
mencurah ilmu dalam latihan pemandu pelancong supaya maklumat yang
disampaikan kepada pengunjung bukan sahaja tepat tetapi menarik,"
katanya.
Beliau
berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian pusat berkenaan
yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah Ahad lalu.
Berangkat
sama, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku
Munawir selaku Canselor UKM dan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku
Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul
Halim.
Sharifah Hapsah berkata, satu lagi rancangan UKM adalah untuk memasyarakatkan ilmu mengenai pulau legenda sumpahan Mahsuri ini.
Katanya,
selain menjadi tumpuan penyelidik, PPL mengalu-alukan semua lapisan
masyarakat khususnya pelajar merapati dan mendapatkan maklumat serta
bahan berkaitan khazanah alam tabii Langkawi yang sangat istimewa dan
bernilai tinggi.
Beliau
berkata, pusat penyelidikan berkenaan harus digunakan sebagai wadah
menimba ilmu berkaitan sejarah pembentukan bumi, kepelbagaian biologi
dan unsur budaya masyarakat setempat.
"Berbekal maklumat ini, masyarakat akan lebih menikmati keindahan dan keajaiban rupa bumi yang dapat dilihat dengan nyata.
Maka
akan timbul dan kekal perasaan kasih sayang kepada alam sekitar
seterusnya untuk menjaga serta memelihara Langkawi," katanya.
Tambah beliau, inisiatif UKM seterusnya ialah untuk membangunkan geopark lain di negara ini.
Katanya,
kajian yang dijalankan oleh universiti itu berjaya menghasilkan inovasi
dalam pengurusan pemuliharaan dan pembangunan lestari.
"PPL akan meneruskan usaha menyebarluaskan pendekatan pembangunan lestari di bawah gagasan geopark di lokasi lain," katanya.
Sumber: Utusan