Tunku
Annuar Sultan Badlishah (duduk tengah) dan Mukhriz Tun Mahathir (duduk,
tiga kiri), Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah (duduk, dua kiri)
serta Md. Rozai Safian (duduk, kiri) bersama barisan Ahli Dewan Undangan
Negeri Kedah selepas Majlis Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat
Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 di Wisma Darulaman, Alor Setar,
semalam.
ALOR
SETAR 25 Ogos - Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku
Annuar Sultan Badlishah menyeru semua pihak bersatu menangani penularan
ajaran Syiah yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tunku
Annuar turut berharap perkara itu tidak dipolitikkan kerana semua pihak
bertanggungjawab menanganinya dan perbalahan berhubung perkara tersebut
tidak harus timbul kerana sudah disepakati secara bersama.
"Kerajaan perlu bertegas menangani penularan ajaran tersebut yang turut ditolak Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Malaysia
adalah sebuah negara Islam dan mengamalkan ajaran ASWJ selain daripada
ajaran ini yang bercanggah dengan hukum syarak adalah dilarang.
"Janganlah
sekali-kali ia dipolitikkan dan saya menggesa semua pihak bersatu
menangani isu ini. Tanggungjawab kita semua cukup signifikan. Sudah
berlalu masa untuk berbalah berhubung perkara yang sudah disepakati
bersama," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika bertitah dalam majlis Perasmian Persidangan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang Ke-13 di Wisma Darul Aman, di
sini hari ini.
Turut berangkat, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.
Yang turut hadir, Speaker DUN Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian serta Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.
Perasmian tersebut dihadiri Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada penyokong kerajaan dan pembangkang.
Bertitah
lanjut, Tunku Annuar menyeru perkara yang dijamin dalam kerangka
Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah tidak diperdebatkan.
"Persoalan
berkaitan sejarah, kemuliaan Islam, kewibawaan institusi, kedaulatan
Raja-raja dan hak-hak kaum, jangan lagi disentuh atau diperdebatkan.
"Kerajaan
dan pihak pembangkang mengetahui peranan masing-masing. Saya ingin
tegaskan ruang yang ada ini harus diisi bagi memacu agenda
transformasi," katanya.
Menyentuh
pembangunan negeri ini, Tunku Annuar berkata, beliau yakin Kedah bakal
berubah wajah kepada sesuatu yang memberi nikmat dan keselesaan kepada
rakyatnya hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Mengamati
keseluruhan gerak kerja yang sedang disusun kerajaan negeri saya
berkeyakinan status Kedah sebagai sebuah negara yang aman dan makmur
mampu dipahatkan.
"Kerja
keras Menteri Besar bersama pasukannya dilengkapi jentera Perkhidmatan
Tadbir Negeri yang sentiasa menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan
serta dokongan rakyat dan pelbagai pihak pastinya memudahkan segala
usaha menjadikan Kedah sebuah negeri maju pada dekad mendatang,"
katanya.
Tunku Annuar turut melahirkan hasratnya supaya Kedah mampu dilonjak menjadi Knowledege Valley atau Lembah Ilmu.
"Ini
misalnya dapat digarap melalui pembukaan lebih banyak cawangan kampus
universiti swasta dan awam dari dalam dan luar negara. Dalam masa sama,
saya mahu supaya dikekalkan sejarah warisan dan budaya untuk tujuan
itu," katanya.
Sumber: Utusan