KULIM
30 Ogos - Kerajaan Kedah merancang untuk menjadikan negeri ini sebagai
pengguna tenaga solar berikutan Kedah kini menjadi pengeluar panel solar
secara besar-besaran, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Katanya
sebagai permulaan kerajaan negeri akan memasang panel solar di bangunan
kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan penggunaan tenaga elektrik
sedia ada.
Mukhriz
berkata Kedah boleh dikatakan antara pengeluar panel solar terbesar di
dunia dengan adanya dua syarikat pengeluar panel solar yang besar di
Kulim Hi-Tech Park di sini, oleh itu tiada alasan untuk Kedah tidak
menggunakan tenaga solar.
"Memandangkan
Kedah kini menjadi pengeluar dan pengeksport panel solar dalam skala
yang sangat besar, menjadi harapan saya agar Kedah turut menjadi
pengguna panel solar. Kita tiada alasan. Panel ini dikeluarkan di Kedah.
"Jelas
bahawa Kedah juga perlu menggunakan produk ini. Mungkin secara
kebetulan, Kedah sebuah daripada negeri terbaik di Malaysia dari segi
(cahaya) matahari. Kami sudahpun merancang untuk memanfaatkan panel
solar di dalam bangunan kerajaan," katanya kepada pemberita ketika
melawat ke Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park di
sini hari ini.
Mukhriz berkata kerajaan negeri turut meneliti cadangan untuk memasang lampu LED di dalam bangunan kerajaan negeri.
"Saya
harap gabungan panel solar dan LED akan membantu mengurangkan
penggunaan tenaga kita. Biasanya ia memerlukan satu pihak memulakan dulu
kemudian yang lain ikut. Ini perkara baik. Saya harap ia akan menjadi
contoh kepada pihak lain termasuk swasta," katanya.
Mukhriz berkata ada juga cadangan supaya panel solar itu dipasang di rumah kampung bagi membekalkan elektrik di kawasan kampung.
"(Selain
untuk kegunaan) selebihnya boleh dimasukkan ke grid TNB (Tenaga
Nasional Berhad). Selain kurangkan perbelanjaan untuk tenaga, mungkin
ada sumber pendapatan bagi tuan rumah daripada penjanaan guna tenaga
solar yang dimasukkan ke grid TNB," katanya.
Sumber: Bernama