Syukuri Nikmat Kemerdekaan

merdeka

MENTERI Besar, Datuk Mukhriz Mahathir (tiga dari kiri) dan Mohd. Tajuddin Abdullah (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang dalam majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Sungai Petani, baru-baru ini.

ALOR SETAR 30 Ogos - Rakyat pelbagai kaum perlu mensyukuri nikmat keselamatan, kedaulatan dan kemerdekaan negara yang membolehkan mereka mengecapi kehidupan dalam suasana harmoni, aman serta sejahtera selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, dalam mensyukuri nikmat berkenaan, rakyat diingatkan supaya terus menyuburkan lagi perpaduan kaum yang menjadi kunci keamanan.

Katanya, ketika banyak negara lain sedang menghadapi peperangan dan penindasan, rakyat negara ini hidup dalam suasana yang harmoni.

"Uniknya Malaysia adalah kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan dapat hidup dalam suasana harmoni. Justeru, perpaduan merupakan nikmat tidak ternilai yang perlu disuburkan agar kemerdekaan negara dapat dipertahankan sampai bila-bila.

"Dahulu, pejuang dan pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan, selepas itu mengisinya dan kini kita mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan itu selaras dengan tema tahun ini iaitu Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku," katanya di sini hari ini.

Mohd. Tajuddin berkata, erti kemerdekaan perlu dihayati sepanjang masa, bukan hanya setiap kali tibanya sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

Katanya, rakyat tidak seharusnya mudah leka dengan kemakmuran dan keselesaan yang dinikmati oleh mereka sekarang.

"Menjadi tanggungjawab setiap rakyat tanpa mengira agama dan kaum untuk berusaha menyemarakkan semangat perpaduan negara," ujarnya.

Beliau juga berharap rakyat akan mengibarkan Jalur Gemilang bila-bila masa bagi menunjukkan rasa bangga dan taat setia kepada negara.

Kata beliau, pengibaran Jalur Gemilang yang menjadi simbol negara berdaulat dapat meningkatkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

"Bukan mudah untuk membina sebuah negara bangsa tetapi hendak meruntuhkannya boleh dilakukan dalam sekelip mata.

"Sebab itu, rakyat mesti bersatu mempertahankan negara dengan mengenepikan perbezaan pandangan, di samping mewujudkan kesedaran, rasa sayang dan cintakannya," ujar beliau.

Sumber: Utusan