
SURAYA
Yaacob (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Hasan Man sempena Ziarah
Ramadan di Kampung Gajah Mati, Pendang, Kedah, semalam.
PENDANG
17 Julai - Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah disaran
menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dalam menyalurkan maklumat
mengenai rakyat yang memerlukan bantuan.
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan
Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata,
pegawai JKM mempunyai kelebihan kerana mereka mengetahui mengenai rakyat
yang hidup dalam kesusahan kerana sering mendampingi mereka.
"Hal
kebajikan rakyat adalah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh
kerajaan negeri jadi pegawai JKM perlu terus mendekati masyarakat dan
menjadi mata dan telinga kepada kerajaan negeri.
"Kalau
ada rakyat yang susah dan perlu dibantu, maklumat tersebut harus
disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan kita akan cuba membantu
meringankan beban mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan
bantuan sempena program ziarah Ramadan JKM di Kampung Gajah Mati di
sini hari ini.
Seramai
50 keluarga dari empat daerah iaitu Pendang, Kubang Pasu, Kota Setar
dan Yan terpilih untuk menerima bantuan sempena program tersebut.
Menurut
Suraya, syarikat-syarikat korporat serta orang awam yang ingin beramal
pada bulan Ramadan juga digalakkan untuk menyalurkan sumbangan kepada
JKM Kedah agar program ziarah Ramadan JKM boleh terus dijalankan.
"Program ini telah masuk tahun kedua dijalankan dan hasil sumbangan datang daripada kakitangan JKM serta orang awam.
"Saya
harap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu dan saya akan
menggerakkan tabung dana untuk program ini mulai tahun depan," ujarnya.
Dalam
pada itu, seorang penerima bantuan, Hasan Man, 70, berkata, dia terharu
kerana terpilih menerima bantuan daripada JKM pada Ramadan kali ini.
"Saya
tinggal seorang diri di rumah kerana isteri yang sakit dijaga oleh
anak, saya bimbang untuk tinggalkan rumah tanpa penghuni.
"Bantuan yang diberikan hari ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan saya sepanjang Ramadan ini," katanya.
Sumber: Utusan