Kesejahteraan Rakyat Dipertingkat

rakyatsejahtera

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR 19 Julai - Kerajaan negeri memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat selaras dengan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pihaknya tidak akan ingkar dengan ikrar tersebut dengan mengambil tindakan-tindakan proaktif menerusi perkhidmatan kebajikan dan pembangunan sosial yang profesional serta perkongsian tanggungjawab strategik.

"Kerajaan negeri sentiasa memikirkan gerak kerja paling efektif untuk membantu golongan seperti orang miskin, kurang berkemampuan, orang kelainan upaya, anak- anak istimewa, ibu tunggal dan anak-anak yatim agar nasib mereka terbela.

"Kita mahu melihat golongan ini turut menikmati kualiti kehidupan yang baik dan tidak terabai ketika Kedah berkembang menjadi sebuah negeri maju dan Malaysia pula mencapai tahap sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pusat Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini anjuran Semai Bakti dan Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (Bidara) di Seri Mentaloon, di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 280 peserta PDK terpilih menerima sumbangan kuih muih, baju dan duit raya. Yang turut hadir Yang Dipertua Bidara, Datin Norzieta Zakaria.

Menurut Mukhriz, bagi memenuhi aspirasi berkenaan, kerajaan Kedah mengharapkan sokongan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarela dan badan amal seperti Bidara untuk bersama-sama mencambah idea serta kaedah holistik bagi mengupayakan golongan itu.

"Sama-samalah kita bermuafakat untuk berusaha memenuhi keperluan golongan istimewa ini dengan matlamat menjadikan mereka insan yang mempunyai kehidupan bermakna, individu berdikari dan warga negara yang menyumbang ke arah kemajuan negara," ujanya.

Dalam pada itu, Norzieta berkata, menjadi hasrat Bidara untuk melangkah sederap dengan Kerajaan Kedah dalam merealisasikan asprirasi yang telah digariskan.

Katanya, sudah semestinya program transformasi kerajaan negeri tidak hanya terhad kepada aspek pembangunan semata-mata.

"Ia tentunya turut mencakupi pelbagai inisiatif untuk menjamin keadilan sosial terutama bagi kelompok masyarakat yang agak terpinggir dari arus perdana," katanya.

Sumber: Utusan