Mustapa
mencuba model baru motosikal KTM 690 R selepas merasmikannya di Kilang
KTM Motonation Manufacturer Sdn Bhd di Jitra. - Foto Sharul Hafiz Zam
Alor
Setar 29 Julai - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI) menyokong permohonan Kerajaan Kedah mendapatkan peruntukan RM50
juta bagi menaik taraf khidmat bekalan air ke Bandar Teknologi Tinggi
Kulim (KHTP).
Inisiatif itu selaras
pembangunan fasa keempat KHTP yang dijangka siap sepenuhnya Julai tahun
depan sekali gus menambah keperluan bagi meningkatkan kapasiti bekalan
air daripada 170 juta liter sehari sedia ada kepada 200 juta liter
sehari demi memastikan keperluan pelabur terus terjamin.
Sokongan
MITI itu dinyatakan pada mesyuarat jawatankuasa bersama penyelaras
industri dengan Kerajaan Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, selepas
meneliti keperluan untuk membantu industri berkaitan yang menjadi tulang
belakang KHTP selama ini.
Menterinya,
Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kementerian juga pernah dikunjungi
wakil pelabur dua tahun lalu yang meminta bantuan meningkatkan kapasiti
air bagi menampung keperluan mereka sebelum masalah itu diselesaikan
Datuk Mukhriz Mahathir, yang ketika itu timbalannya.
“Namun,
selaras pembangunan fasa keempat KHTP di kawasan seluas 162.4 hektar,
air dilihat antara keperluan utama yang perlu dipertingkatkan bagi
menampung jumlah pelabur yang bakal bertambah. Dalam beberapa perkara
dibincangkan termasuk infrastruktur KHTP, ada permohonan dari kerajaan
negeri supaya bekalan air dipertingkatkan,” katanya.
Sementara
itu, Mukhriz yang kini Menteri Besar Kedah, berkata kerajaan negeri
juga mendapat kerjasama baik MITI dalam beberapa perkara lain
membabitkan pembangunan Bandar Getah di Padang Terap.
Sumber: Berita Harian