ALOR
SETAR 29 Julai - Felcra Berhad (Felcra) hari ini menyerahkan dividen
keuntungan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Menteri Besar
Incorporated (MBI) kepada kerajaan negeri berjumlah RM33.13 juta bagi
tempoh tiga tahun bermula 2010.
Penyerahan
itu dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ramlee Abu Bakar
kepada Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir di Wisma Darul Aman di sini
hari ini.
Yang
hadir sama menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa
Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri,
Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah dan Pengurus Besar Wilayah Utara Felcra,
Mohamed Ismi Abdul Majid.
Ramlee
berkata, dividen itu adalah hasil keuntungan Felcra yang membangunkan
2,287 hektar tanah milik MBI menerusi 13 projek tanaman getah dan sawit
antaranya di Langkawi, Baling, Pendang, Sik, Pokok Sena serta Padang
Terap.
"Projek-projek
ini dibangunkan secara berperingkat dengan lapan daripadanya kini dalam
proses untuk ditanam semula dan lima lagi sudah pun ditanam semula.
"Pengagihan dividen berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 2007," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Menurut
Ramlee, pembayaran dividen dilakukan Felcra kepada MBI sejak 2007
melibatkan jumlah keseluruhan RM45.3 juta dan penyerahan kali ini adalah
yang terbesar.
Dalam
pada itu, beliau memberitahu, kira-kira 5,800 peserta Felcra di Kedah,
Perlis dan Pulau Pinang menerima 'duit raya' sebanyak RM6.69 juta
apabila agensi tersebut mengagihkan keuntungan interim pertama
bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti yang diumumkan
baru-baru ini.
Katanya, pengagihan dividen itu melibatkan Kedah sebanyak RM4.2 juta, Perlis (RM2 juta) dan Pulau Pinang RM470,000.
Sumber: Utusan