JITRA
29 Julai - Enakmen anti-Syiah akan dimasukkan ke dalam undang-undang
tubuh kerajaan Kedah dalam masa terdekat sebagai respons kepada reaksi
positif masyarakat yang turut menentang fahaman Syiah, kata Timbalan
Mufti Kedah Syeikh Marwazi Dziyauddin.
Beliau
berkata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir telah mengarahkan
supaya disegerakan pelaksanaan enakmen itu bagi membolehkan tindakan
dikenakan terhadap pengikut Syiah yang menyebarkan fahaman sesat itu
menerusi pelbagai cara.
Tindakan
akan diambil paling cepat selepas Hari Raya, katanya ketika ditemui
pada mesyuarat Jawatankuasa Gabungan Institusi Pondok, Maahad Tahfiz dan
Ilmuan Sunni (Giptis) di sini malam tadi.
Beliau
mengulas pengumuman Mukhriz baru-baru ini bahawa kerajaan negeri akan
mewartakan fatwa anti-Syiah bagi membanteras fahaman itu daripada
menular dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi
Giptis Dr Abd Aziz Hanafi sementara itu mahu kerajaan mengkaji semula
kurikulum Pendidikan Islam sedia ada dalam usaha mengekang fahaman Syiah
yang dipercayai turut menular dalam kalangan pelajar.
Beliau
berkata misi dan falsafah subjek Pendidikan Islam perlu diperbaharui
bermula di peringkat prasekolah agar pelajar tidak terpengaruh dengan
amalan Syiah yang bertentangan dengan ajaran Islam.
"Kita
minta kerajaan kaji semua silibus yang ada. Kita boleh minta ilmuan
Sunni menulis semua sejarah Islam dan memartabatkan sahabat -sahabat
Nabi yang tidak diiktiraf oleh Syiah.
"Kita
mahu melihat mata pelajaran tersebut lebih berkesan dan misi, falsafah,
kurikulum, silibus yang diajar di semua peringkat pengajian termasuk
institut pengajian tinggi dilaksanakan mengikut kehendak Ahli Sunnah Wal
Jamaah," katanya.
Abd
Aziz berkata pihaknya turut mengalu-alukan ilmuan Sunni dan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) Islam bekerjasama dengan Giptis dalam usaha
menentang habis-habisan fahaman Syiah yang bergerak secara diam-diam.
Beliau
berkata pihaknya akan menganjurkan seminar pemantapan akidah untuk
masyarakat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah agar tidak mudah
diseleweng oleh fahaman Syiah dan ajaran sesat yang lain.
Sumber: Bernama