Ibu Tunggal Dibantu

ibutunggal

Oleh ABD. RAZAK OSMAN

Tunku Nafisah Sultan Badlishah (dua kiri) bertanya sesuatu kepada Sopiah Yaakob yang mengalami kecacatan setelah terlibat dalam kemalangan semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2013 di Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 28 Julai - Seramai 170 penduduk terdiri daripada ibu tunggal dan warga emas dari daerah Baling, Sik, Yan dan Kuala Muda dipilih menerima duit raya RM300 seorang daripada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dalam satu majlis di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Biro Kebajikan YSB, Datuk Tunku Nafisah Sultan Badlishah menyampaikan sumbangan itu dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Hari Aidilfitri 2013.

Program anjuran YSB itu adalah kali ke-14 diadakan dan pada tahun lalu, seramai 185 penduduk di daerah Kota Setar, Pendang, Padang Terap dan Kubang Pasu menerimanya.

Pengurus Besar YSB, Misbah Abdul Hamid berkata, penyampaian sumbangan kepada para penerima itu dilakukan lebih awal bagi membolehkan mereka membuat persediaan untuk menyambut bulan Syawal tidak lama lagi.

Katanya, mereka yang menerima sumbangan itu adalah golongan miskin dan sebanyak RM55,000 diperuntukkan bagi membiayai program berkenaan.

Seorang warga emas, Sopiah Samad, 67, dari Simpor Besar berkata, dia gembira kerana dipilih oleh pihak YSB untuk menerima sumbangan tersebut.

"Wang sumbangan itu boleh digunakan untuk membeli keperluan hari raya," katanya.

Sumber: Utusan