Dari
kiri, Badrul Hisham Hashim, Mahdzir Khalid dan Ghazali Ibrahim
menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada golongan
kurang bermampuan di Padang Terap, Kedah, semalam.
PADANG
TERAP 27 Julai - Seramai 1,900 orang dari sekitar kawasan Parlimen ini
menerima sumbangan keperluan harian yang diusahakan oleh Pegawai
Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Ghazali Ibrahim di sini hari
ini.
Majlis
penyampaian sumbangan yang berlangsung di pekarangan rumah Ghazali itu
merupakan amal jariah dilakukan beliau sempena Ramadan sejak tujuh tahun
lalu.
Yang
turut hadir Ketua UMNO Bahagian Padang Terap merangkap Timbalan Menteri
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan
Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim.
Penerima
terdiri daripada ibu tunggal, golongan miskin, orang kelainan upaya
(OKU), veteran UMNO dan anak yatim diberikan sumbangan beras, kain
pelekat atau batik dan duit raya.
Menurut
Ghazali, barangan keperluan harian itu adalah hasil sumbangan beberapa
pihak termasuk badan korporat bertujuan meringankan beban mereka pada
Ramadan dan menjelang Syawal tidak lama lagi.
"Sumbangan
ini juga antara lain bertujuan memberi keceriaan kepada penduduk pada
bulan mulia ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, menerusi
program itu dapat memupuk silaturahim serta perpaduan dalam kalangan
penduduk apabila mereka saling beramah mesra dan bertanya khabar.
"Perpaduan
adalah elemen penting dalam pembangunan khususnya di kawasan ini yang
memerlukan lebih banyak kemudahan asas termasuk jalan raya," katanya.
Sumber: Utusan