PELABUHAN BAHARU DI KUALA SANGLANG


4pelabuhan
JERLUN 4 Mac - Sebuah pelabuhan bakal diwujudkan di Kuala Sanglang di sini sebagai kemudahan dan infrastruktur bagi memendekkan perjalanan perdagangan antara utara Semenanjung dan selatan Thailand.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihaknya menerima cadangan projek tersebut melalui inisiatif pihak swasta dengan kerjasama Menteri Kewangan diperbadankan (MKD).
“Projek tersebut akan menjadi hub pelabuhan utara Malaysia yang mampu menjimatkan masa lima hingga tujuh hari bagi menghubungkan laluan kargo antara negara kita dan Thailand.
“Pelabuhan yang bakal dibina itu juga akan menjadi laluan perdagangan antara Eropah dengan negara di sebelah timur seperti China dan Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Orang Ramai Kuala Sanglang dan Kenduri Rakyat di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputeh, Datuk Abu Hasan Sharif dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar.
Menurutnya, pihaknya sudah menerima cadangan daripada pihak swasta dalam dan luar negara yang bersetuju membenarkan pihak terbabit membuat kajian kebarangkalian serta keberuntungan untuk kemungkinan melaksanakan projek pelabuhan baharu tersebut.
“Dahulu ada cadangan untuk bina pelabuhan di Pulau Bunting, Yan tetapi kita dapati kawasan Kuala Sanglang juga mempunyai kesesuaian selain lokasi agak dekat dengan Bukit Kayu Hitam maka kerajaan negeri bersetuju dibina di sini.
“"Pembinaannya nanti akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi kepada Kedah, tambahan kita juga akan percepatkan pembangunan projek Bandar Bebas Cukai (BBC) di Bukit Kayu Hitam supaya selaras dengan pembukaan pintu sempadan 24 jam tahun depan," katanya.
Dalam pada itu, Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, berdasarkan laporan awal melalui cadangan itu, Kuala Sanglang mempunyai kedalaman mencukupi bagi tujuan pembinaan pelabuhan baharu berkenaan.
“Selain itu, kerajaan Pusat juga bersedia memberi kerjasama bagi memudahkan cara pergerakan kargo bagi darat antara selatan Thailand melalui utara Malaysia bagi tujuan mempercepatkan transaksi perniagaan dengan mengoptimumkan laluan kereta api,” katanya.
Oleh : Zulqurnain Othman
Sumber : Utusan