LANCAR PELAN PEMBANGUNAN KEDAH 2019-2035


4lancar
ALOR SETAR 4 Mac - Kerajaan Negeri Kedah melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2019-2035 sebagai pelan induk dasar-dasar yang boleh dicapai, bersesuaian dengan ekosistem masyarakat Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, program teras yang dibawa adalah praktikal, mudah dilaksana selain impaknya cepat dinikmati rakyat Kedah.
“Bezanya dalam pelan ini, kita berbalik kepada konsep teras, iaitu mengembalikan fungsi daerah selaku pusat pertumbuhan utama. Sepanjang ekspo, kluster pameran daerah dengan penglibatan 12 daerah dilihat mempunyai kekuatan tersendiri, melalui produk yang mampu menjana ekonomi,” katanya.
Menurutnya, identiti setiap daerah akan dikenal pasti melalui R&D, gerak kerja pengisian pembangunan setiap daerah serta potensi kekuatannya.
“Atas dasar ini, saya perincikan satu mekanisme segera akan diputuskan di mana setiap daerah diberi peruntukan khas bagi kerja-kerja R&D dan pengukuhan peranan, supaya fungsi setiap daerah selaku tunjang dan teras utama pembangunan serta kemajuan negeri dapat dijayakan,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, pihaknya mahu memacu masa hadapan agar Kedah terus maju.
“Ekspo ini menjadi bukti dan rekod pencapaian kerajaan BN sentiasa fikirkan agenda kemajuan rakyat. Kita mahu membina, bukan meruntuh. Kita gilap dan memahat tamadun, bukan merosakkan apa yang sudah terbentang menjadi ‘ivory tower’. Kita peduli rakyat, bukannya menghasut dengan buat janji sehingga tidak mampu dipenuhi,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu menjulang kemakmuran, mencipta perpaduan dan membuka laluan demi menggilap potensi insan.
“Dalam konteks Kedah, misi kita nyata dan pastinya kita tidak akan Toleh ke belakang. Kita bukan seperti ‘mereka di sebelah sana’ yang sering melakukan ‘u-turn’,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, ekspo ini turut menyaksikan termeterai beberapa MoU melibatkan perancangan pembangunan semula kawasan strategik pelancongan antaranya Tanjung Chali.
“Kita akan kembalikan kerancakan industri di Kedah. 26 Februari lalu, satu majlis MoU antara Kumpulan NAZA dan Groupe PSA diadakan disaksikan Perdana Menteri, yang dapat mewujudkan dimensi baru membolehkan Gurun menjadi penghasil dan pemasangan kereta jenama Eropah, memanfaatkan 70 vendor tempatan serta membuka 1,200 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Menurutnya, ini antara catatan kejayaan BN, meskipun ada pihak mendakwa ia adalah hasil kerja mereka.
“Atas kejayaan ini, saya umumkan showcase Ekspo Muafakat Kedah akan menjadi acara dwi tahunan. Edisi berikutnya pada Februari 2020, dengan syarat kerajaan sedia ada diberi mandat sekali lagi agar lebih banyak kemajuan boleh diterjemahkan,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, ekspo akan datang akan tambah nilai dengan dua pakej kluster iringan melibatkan penyertaan Kementerian selain penglibatan dari negara jiran bawah kerangka kerjasama IMT-GT.
“Apa yang kita pamerkan menjadi satu testimoni, banyaknya peluang yang boleh diterokai rakyat Kedah. Selain paparan segmen pembangunan, kemajuan pentadbiran, kebajikan yang diusahakan menerusi kerjasama strategik NBOS dan kerajaan Pusat, membuktikan amalan muafakat membawa berkat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan majlis penutup Ekspo Muafakat Kedah dan melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2019-2035.
Oleh : Roslinda Hashim
Sumber : Sinar