Projek Pembangunan Bercampur Di Alor Setar

9projek

ALOR SETAR 8 Febuari - Sebuah projek kediaman dan komersial bernilai RM160 juta akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 7,284 meter persegi milik Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di Jalan Kolam Air di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, projek tersebut yang terletak di lokasi strategik dan bernilai tinggi itu akan melibatkan kerjasama strategik antara YINK dan Permodalan Kedah Berhad (PKB).

“Projek pembangunan bercampur ini terdiri daripada dua blok kondominium dengan 455 unit kediaman, sebuah bangunan lima tingkat dengan pusat dakwah, dewan persidangan, bilik kuliah, tempat letak kereta dan pejabat.

“Selain itu, projek ini turut membangunkan sejumlah 41 unit lot perniagaan dan 900 petak tempat letak kereta,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah ta­nah projek tersebut di sini hari ini.

Mukhriz berkata, langkah proaktif YINK membangunkan tanah di kawasan perniagaan dan pentadbiran serta bersebelahan dengan UTC itu merupakan langkah tepat untuk menjayakan Pelan Tranformasi Kedah 2013-2018.

“Lebih menarik, pembangunan tanah ini melibatkan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dua syarikat milik kerajaan (GLC) Kedah.

“Sehubungan itu, saya suka mengajak semua GLC agar dapat menjalinkan kerjasama strategik ini bagi membangunkan Kedah, di sinilah peranan sebenar GLC supaya setiap inisiatif yang telah dimuktamadkan di dalam Pelan Tranformasi Kedah 2013-2018 dapat direalisasikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, tempoh masa selama dua tahun disasarkan untuk me­nyiapkan projek tersebut.

“Saya mengharapkan projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual kerana kelewatannya akan memberi kesan yang tidak baik kepada setiap pengguna di sekitarnya.
“Perlu juga diingatkan bahawa kejayaan sesuatu projek pembangunan bukan sahaja diukur dari aspek kecekapan pembinaan tetapi juga terhadap aspek lestari yang menitikberatkan kesejahte­raan persekitaran,” katanya.

Oleh : Nazmil Nasiruddin

Sumber : Utusan